Isnin, 12 Disember 2016 | 2:12pm

Ahok dibicarakan esok

GAMBAR fail Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama berucap pada kempen pemilihan gabenor di Jakarta pada 16 November lalu. - Foto AFP
GAMBAR fail Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama berucap pada kempen pemilihan gabenor di Jakarta pada 16 November lalu. - Foto AFP

JAKARTA: Gabenor Jakarta yang dituduh menghina Islam akan dibicarakan esok dalam kes berprofil tinggi yang menjadikan kumpulan konservatif lebih berani dan mencetuskan kebimbangan peningkatan perpecahan di negara paling ramai umat Islam di dunia itu.

Basuki Tjahaja Purnama, penganut Kristian pertama mentadbir Jakarta dalam masa lebih 50 tahun, akan mempertahankan tuduhan menghina al-Quran dan menentang tuntutan supaya beliau dipenjarakan menurut undang-undang tegas menghina agama di Indonesia.

Purnama, dikenali kerana lantang bersuara, menaikkan kemarahan umat Islam apabila memetik ayat al-Quran ketika berkempen pada pilihan raya gabenor.

Kenyataannya mencetuskan bantahan oleh kumpulan konservatif yang sekian lama menentang Purnama, juga dikenali dengan gelaran Ahok, dalam Dewan Bandar Raya tetapi gagal mengekang populariti beliau.

Namun perhimpunan untuk mempertahankan Islam dan menghukum pihak yang menghina menarik sokongan penduduk Islam berhaluan sederhana dan konservatif, yang berarak menentang Ahok dalam bilangan yang tidak pernah dilihat dalam masa beberapa tahun.

Kes berkenaan dilihat sebagai sebahagian ujian toleransi agama di Indonesia, yang menyaksikan serangan ke atas golongan minoriti menghakis reputasi kepelbagaian.

"Jika didapati bersalah, ini mungkin menjadi halangan terbesar kepada pluralisme dalam sejarah Indonesia," kata pegawai Pusat Strategik dan Pengajian Antarabangsa beribu pejabat di Jakarta, Tobias Basuki.

Ahok dituduh menurut undang-undang menghina agama apabila menyindir lawannya menggunakan ayat al-Quran untuk memperdaya pengundi supaya jangan mengundi beliau.

Ucapannya yang sudah disunting itu menjadi viral, mencetuskan kemarahan sehingga di luar Jakarta, yang ditadbir Ahok sejak Joko 'Jokowi' Widodo menjadi presiden pada lewat 2014.

Beliau meminta maaf tetapi badan ulama tertinggi Indonesia dan beberapa kumpulan radikal menyifatkan kenyataan itu sebagai menghina Islam dan menggesa pihak berkuasa mendakwa Ahok. - AFP

Berita Harian X