Selasa, 9 Disember 2014 | 9:19pm

Jadikan Korea Selatan sumber inspirasi - Najib

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak disambut setibanya di Lapangan Terbang Seoul, Korea Selatan hari ini. - Foto REUTERS

Daripada Ahmad Naim Tahir

[email protected]

SEOUL: Datuk Seri Najib Razak mengajak rakyat Malaysia menjadikan Korea Selatan sebagai sumber inspirasi untuk bersama-sama dengan kerajaan membangunkan tanah air menjadi negara maju.

Berucap di depan kira-kira 150 pelajar Malaysia di Korea Selatan pada majlis makan malam, di sini malam ini, Perdana Menteri berkata banyak perkara yang boleh dijadikan teladan daripada kisah kejayaan negara ini yang tiada sumber asli serta berdepan ancaman negara jirannnya.

"Sebagai negara yang tiada sumber, beriklim sejuk pada tempoh tertentu, mereka perlu ada naluri untuk kelangsungan hidup. Naluri itu amat kuat dalam diri mereka, ditanam sejak kecil.

"Sudah tentu jika mereka tak dapat bangunkan atau cari sumber kekayaan dengan guna akal dan fikiran, mereka akan jadi mangsa persekitaran," katanya.

Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin; Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin; Utusan Khas Perdana Menteri ke Asia Timur, Datuk Seri Tiong King Sing dan Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Rohana Ramli.

Najib berkata, rakyat Korea Selatan juga amat berdisiplin dan melakukan sesuatu secara habis-habisan, mengatasi segala cabaran serta penuh fokus untuk memastikan apa yang dibuat itu berjaya.

Beliau menyifatkan rakyat negara ini dilatih dalam suasana disiplin begitu kuat bersama kawalan tegas.

"Dalam golf wanita contohnya, Korea Selatan mendominasi peringkat dunia. Dulu, Park Se-Ri dilatih ibu bapanya sejak kecil, berjalan turun naik tangga ke apartmen mereka, bukan naik lif. Ia untuk kuatkan otot kaki dan paha hinggalah dia berjaya menjadi pemain golf wanita utama dunia.

"Perlu kerja kuat, berdisiplin dan fokus kepada objektif untuk berjaya. Sebagai sebuah negara pula, perlu atasi semua cabaran yang ada untuk mencapai kejayaan," katanya.

Perdana Menteri juga mengimbau sejarah ketika kereta keluaran Korea Selatan diperlekehkan, tapi kini menjadi antara yang terbaik di dunia, selain kejayaan negara ini dalam teknologi telefon pintar dan produk televisyen LED.

"Buat pelajar Malaysia di sini, anda datang dan belajar, dapat inspirasi serta lakukan perkara yang sama seperti orang Korea bila pulang ke tanah air nanti. Contohi komitmen, keghairahan untuk berjaya dan tanamkan juga jati diri sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Berita Harian X