Selasa, 13 Disember 2016 | 8:54am

Keberangkatan Sultan Muhammad V ke Istana Negara

KOTA BHARU: Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V, berkenan melakukan pemeriksaan kawalan kehormat sempena majlis keberangkatan Yang di-Pertuan Agong ke Istana Negara di Istana Negeri Kubang Kerian di sini, pagi ini.

Yang di-Pertuan Agong tiba kira-kira jam pagi 7.50 pagi disambut Pemangku Sultan Kelantan, Tengku Dr Muhammad Fa-iz Petra; Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Pengiring Yang di-Pertuan Agong, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Lagu Negaraku dan Selamat Sultan kemudian dimainkan berserta tembakan meriam.

Rakyat Kelantan berbaris di sepanjang jalan antara Istana Negeri, Kubang Kerian ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa bersempena keberangkatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V ke Istana Negara, Kuala Lumpur. - Foto Faris Zainuldin

SERI Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V, berkenan memeriksa perbarisan Kawalan Kehormat Utama Rejimen Artileri Diraja di Istana Negeri, Kubang Kerian sebelum berangkat ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15 di Istana Negara, Kuala Lumpur. - Foto Fathil Asri

Baginda kemudian berkenan melakukan pemeriksaan kawalan kehormat pasukan Rejimen Artileri Kem Desa Pahlawan membabitkan 107 anggota dan tiga Pegawai diketuai Mejar Mohd Saiful Azly.

Sebaik selesai pemeriksaan kawalan kehormat, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad, membacakan doa dan lagu Negaraku dimainkan sekali lagi sebelum keberangkatan Yang di-Pertuan Agong ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa dari Istana Negeri, kira-kira jam 8 pagi.

Sebelum itu, rakyat jelata mula berkumpul seawal jam 6 pagi di sepanjang jalan bermula dari pekarangan di luar Istana Negeri untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Yang di-Pertuan Agong.

Berita Harian X