Selasa, 13 Disember 2016 | 2:05pm

Mesir tuduh Ikhwanul Muslimin dalang serangan gereja

KEJADIAN pengeboman di gereja di Kaherah, kelmarin. - Foto AP

KAHERAH: Kementerian Dalam Negeri Mesir menuduh pemimpin Ikhwanul Muslimin yang berlindung di Qatar melatih dan membiayai pengeboman di gereja di ibu kota negara itu yang membunuh 25 orang.

Ia berkata, siasatan mendedahkan kumpulan berkenaan diketuai suspek yang menerima bantuan kewangan dan logistik serta arahan untuk melancarkan serangan oleh pemimpin pertubuhan itu yang menetap di Qatar.

Ikhwanul Muslimin menafikan sebarang pembabitan dengan letupan di gereja Saint Peter dan Saint Paul kelmarin.

Ia adalah serangan paling buruk ke atas kumpulan minoriti itu yang merangkumi 10 peratus penduduk Mesir.

Menurut kementerian itu, siasatan menunjukkan suspek, Mahmoud Shafik Mohamed Mostafa, 22, ditahan pada 2014 ketika mengiringi konvoi Ikhwanul Muslimin dengan bersenjata. Beliau dibebaskan pada Mei tahun sama.

Presiden Abdel Fattah al-Sisi menamakan Mostafa sebagai pengeboman nekad ketika majlis pengebumian mangsa awal semalam.

Mostafa dikehendaki dalam dua kes lagi berkaitan kumpulan fundamental.

Ujian DNA beberapa bahagian mayat yang ditemui berpadanan dengan keluarganya.

Ketika siasatan, pihak berkuasa menemui dua tali pinggang diikat dengan peranti letupan yang sedia diletupkan, selain bahan lain yang digunakan untuk menghasilkan bahan letupan, di tempat persembunyian digunakan Mostafa dan kumpulannya.

Serangan berlaku ketika upacara keagamaan kelmarin di gereja yang bersambung dengan Gereja Besar Saint Mark, kerusi diduduki Pope Coptic Tawadros II.

Tiada pihak mendakwa bertanggungjawab melakukan pengeboman itu. - AFP

Berita Harian X