Selasa, 13 Disember 2016 | 4:50pm

100 sertai majlis berkhatan Pejabat Daerah Dungun

PESERTA khatan disiram dengan air sempena program berkhatan beramai-ramai anjuran Pejabat Daerah Dungun Paka, pagi ini. - Foto Rosli Ilham
PESERTA khatan disiram dengan air sempena program berkhatan beramai-ramai anjuran Pejabat Daerah Dungun Paka, pagi ini. - Foto Rosli Ilham

DUNGUN: Seramai 100 kanak-kanak dari Mukim Paka, Balai Besar dan Rantau Abang diarak menggunakan tandu sempena program berkhatan beramai-ramai anjuran Pejabat Daerah Dungun di Paka, pagi ini.

Pegawai Daerah Dungun, Datuk Mat Yassim Awang, berkata semua mereka yang ditemani kedua ibu bapa diarak dari Balai J3K Kampung Limbong ke Sekolah Kebangsaan (SK) Paka.

Katanya, majlis dilakukan mengikut tradisi lama seperti menyuap pulut kuning, mandi beramai-ramai, persembahan silat dan perarakan sirih junjung dan pulut kuning sebelum mereka dikhatankan.

"Sebanyak lima bilik di sekolah terbabit dijadikan sebagai tempat untuk berkhatan dan semua mereka dikhatankan 10 pegawai perubatan.

"Kita jangkakan semua kanak-kanak terbabit akan selesai dikhatankan sehingga malam ini," katanya pada majlis itu.

Mat Yasim berkata, majlis terbabit mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa dan pihaknya akan meneruskan majlis seperti itu pada masa depan.

Sementara itu seorang bapa, Mohd Shukri Hashim, 50, berkata majlis seperti ini sangat baik bagi  mengingatkan kembali berkhatan di zaman dahulu. 

"Pada zaman dahulu, kita diarak, disuap pulut kuning dan mandi sungai beramai-ramai sebelum dikhatankan," katanya. 

Berita Harian X