Selasa, 13 Disember 2016 | 9:40pm

TEKAM minta kerajaan batal beku pekerja asing

MEGAT Fairouz (enam dari kanan) bersama beberapa ahli jawatankuasa ketika menghadiri Mesyuarat Agong TEKAM, di Putrajaya. - Foto Samadi Ahmad

PUTRAJAYA: Persatuan Pembekal dan Pengurusan Tenaga Kerja Asing Malaysia (TEKAM) meminta kerajaan menarik balik pembekuan pengambilan pekerja asing ke negara ini.

Presidennya, Datuk Megat Fairouz Megat Junid, berkata ia perlu bagi menampung kekosongan, terutama di sektor perladangan apabila kontrak pekerja asing sedia ada tamat dan mereka kembali ke negara masing-masing.

Katanya, TEKAM menerima banyak permintaan majikan untuk pekerja asing, namun kerajaan hanya memberi kelulusan pengambilan berdasarkan keperluan industri dan syarat perundangan yang ketat.

"Pekerja asing perlu diuruskan dengan baik kerana jika dibawa masuk oleh pihak yang tidak berlesen, mereka akan jadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dan dibiarkan tanpa sebarang pekerjaan.

"Ia boleh mengundang masalah sosial dan aktiviti jenayah di negara ini," katanya selepas Mesyuarat Agong Tahunan Keenam TEKAM, di sini, hari ini.

Pada Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pengambilan pekerja asing baharu kecuali pembantu rumah dihentikan, sekali gus majikan perlu menggaji pekerja asing sedia ada di negara ini, termasuk yang tamat tempoh permit kerja.

Megat Fairouz juga meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengiktiraf  peranan TEKAM dan mencadangkan pihak yang diberi lesen membawa masuk pekerja asing ke negara ini, bernaung di bawah persatuan itu.

"Ini akan memudahkan kerajaan memantau urusan pekerja asing di negara ini, mengelakkan ejen tidak sah menipu majikan dan warga asing, selain memastikan tenaga kerja asing tidak menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

"Ia juga dapat meningkat dan memudahkan kutipan bayaran caj levi yang  dikenakan ke atas pekerja asing mengikut sektor masing-masing," katanya.

Mengenai tindakan Kementerian Imigresen Myanmar menghentikan pengeluaran dokumen untuk rakyatnya yang mahu bekerja di Malaysia, beliau berkata, perkara itu tidak akan menjejaskan keperluan tenaga kerja asing kerana Malaysia masih mempunyai 13 negara sumber.

Berita Harian X