Rabu, 14 Disember 2016 | 1:06pm

F1: Alonso setia kepada McLaren, tak fikir Mercedes


PEMANDU McLaren, Fernando Alonso (kiri) bersama Lewis Hamilton dari Mercedes. - Foto EPA

LONDON: Fernando Alonso memberi petunjuk jelas dia tidak akan 'mengejar' kerusi pelumba Mercedes AMG PETRONAS bagi musim 2017 selepas menegaskan untuk terus komited memburu kejayaan bersama McLaren.

Bekas juara dunia Formula Satu (F1) kelahiran Sepanyol itu dikenal pasti sebagai calon berpotensi untuk menggantikan juara dunia 2016 yang baru bersara, Nico Rosberg bersama juara dunia kategori berpasukan tiga kali itu sekali pun masih memiliki kontrak bersama McLaren-Honda sehingga penghujung 2017.

Begitupun, pengurusnya, Flavio Briatore menolak tanggapan itu pada minggu lalu dengan Alonso seolah-olah mengesahkan masa depannya bersama McLaren dalam usaha untuk sekali lagi memenangi gelaran F1 bagi individu dan pasukan.

"Saya percaya dengan projek ini. Saya komited dan mahu menjadi juara dunia bersama McLaren-Honda," kata Alonso menerusi laman sosial Twitter McLaren-Honda selepas kunjungannya ke Pusat Teknologi McLaren.

"Ia satu-satunya sasaran saya."

Alonso, 35 pernah memenangi gelaran dunia sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2005 dan 2006 bersama pasukan Renault manakala kali terakhir McLaren memenangi gelaran dunia ialah pada 2008 bersama pelumba Mercedes, Lewis Hamilton.

Sementara itu, bos Mercedes, Toto Wolff sebelum ini memberi isyarat yang Alonso sebagai antara pilihannya untuk pasukan itu bagi 2017.

Keputusan Alonso menyaksikan Mercedes kembali kepada Valtteri Bottas, Pascal Wehrlein dan Carlos Sainz sebagai pemandu berpotensi untuk menggantikan tempat Rosberg. - Agensi

47 dibaca
Berita Harian X