Rabu, 14 Disember 2016 | 2:47pm

Jangan pertikai nilai pemain - Presiden PFAM


PRESIDEN Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KUALA LUMPUR: Nilai pemain yang mencecah jutaan ringgit dalam Liga Malaysia (Liga M) perlu dilihat dalam aspek positif jika bola sepak negara hendak menuju ke arah profesional seperti di luar negara.

Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar berpendapat, Liga M perlu ada pemain yang memiliki nilai serta kualiti dan semua pihak perlu positif mengenai perkara itu.

"Kita perlu tingkatkan liga kita, nak jadi lebih berkualiti kelab perlu tambah pendapatan, jual pemain adalah sebahagian daripadanya," katanya ketika dihubungi BH Online, sebentar tadi.

Hairuddin mengulas mengenai pemain Selangor, Ahmad Hazwan Bakri yang menyertai juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan yuran perpindahan difahamkan mencecah kira-kira RM1 juta.

Jumlah itu difahamkan termasuk dengan nilai tebus kontrak RM600,000 selepas kontrak pemain berusia 25 tahun itu masih berbaki setahun dengan The Red Giants.

Bagaimanapun legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh menegaskan tiada seorang pun pemain Liga M bernilai jutaan ringgit berdasarkan kualiti dan prestasi mereka.

Hairuddin berkata, beliau melihat nilai pemain itu sebagai sesuatu yang subjektif dan ia tidak seharusnya dipertikaikan.

"Kita tak boleh cakap mahal atau murah, Selangor kehilangan Hazwan, mungkin mereka hilang penonton dan penaja dan mereka merasakan nilai itu adalah berpatutan atas pemain itu.

"Kita perlu tingkatkan liga kita, nak jadi lebih berkualiti kelab perlu tambah pendapatan, jual pemain adalah sebahagian daripadanya," katanya.

Hairuddin berkata, jika pemain itu diletakkan pada harga mahal, kelab yang tidak mampu tidak perlu membelinya.

"Sebagai contoh JDT, mereka sudah berada dalam kelas yang lain, mereka sudah jauh berada di depan bukan hanya bermain untuk Liga M saja.

"Mereka mahu bermain dalam saingan Asia, Liga Juara-Juara Asia, mereka mesti menguatkan pasukan dengan pemain tempatan dan mereka mesti cari yang berada dalam prestasi terbaik kerana kita tidak boleh beli semua pemain import.

"Mereka ada duit mereka boleh beli, jika kelab tiada wang, mereka tidak perlu beli," katanya.

Dalam pada itu, Hairuddin menasihatkan pemain supaya lebih bertanggungjawab untuk meningkatkan permainan mereka dan setaraf dengan nilai tinggi diletakkan terhadap mereka.

13 dibaca
Berita Harian X