Rabu, 14 Disember 2016 | 6:10pm

Kastam rampas ayam beku, mercun negara jiran

PENGARAH Kastam Kedah, Datuk Abdul Latif Abdul Kadir (kanan) bersama pegawainya menunjukkan pelbagai jenis mercun dan bunga api yang berjaya dirampas di dalam sebuah lori kontena di hadapan plaza tol Pendang, ketika mengadakan sidang media di Kompleks Kastam. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah mematahkan cubaan menyeludup masuk ketulan ayam beku, mercun dan bunga api bernilai lebih RM300,000 dalam dua operasi berasingan, baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Abdul Latif Abdul Kadir, berkata pihaknya merampas 25,560 kilogram (kg) ketulan ayam beku dan 7,166 kg mercun serta bunga api pada 30 November dan 9 Disember lalu.

Katanya, ia cuba diseludup masuk ke negara ini melalui pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam menggunakan lori kontena dan membuat pengikraran palsu.

"Dalam serbuan pertama pada jam 11 malam, 30 November lalu, sebuah lori kontena yang membawa 2,130 kotak ketulan ayam beku seberat 25,560 kg dianggar bernilai RM110,520 ditahan berhampiran Tol Hutan Kampong, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan.

"Kami menemui 138 kotak mengandungi bekalan ikan sejuk beku manakala di belakang tersorok beribu kotak ketulan ayam sejuk beku yang sudah dimusnahkan kerana tidak mempunyai sijil halal," katanya pada sidang media di pejabat JKDM Kedah, di sini hari ini.

Abdul Latif berkata, serbuan kedua pada 9 Disember lalu, pihaknya menahan sebuah lori kontena membawa pelbagai jenis mercun dan bunga api seberat 7,166 kg dianggar bernilai RM182,700 dan jumlah cukai RM107,793 yang disembunyikan di sebalik bekalan baja.

Katanya, lori terbabit ditahan di tol Pendang, dekat sini, pada jam 7 pagi, yang menipu borang ikrar kononnya membawa 1,500 beg baja.

"Susulan kedua-dua operasi itu, dua pemandu dan satu kelindan berusia 22 hingga 35 tahun ditahan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barangan larangan atau belum lulus kastam.

"Sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai barangan dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Berita Harian X