Rabu, 14 Disember 2016 | 6:43pm

Perniagaan akuakultur berpotensi besar


PENGERUSI Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif (kanan) dan Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Datuk Adnan Hussain (kiri) melawat pameran pada Karnival myDOF Pahang di Dewan Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang. - Foto Mohd Rafi Mamat

KUANTAN: Usahawan Bumiputera diminta meneroka projek akuakultur yang semakin berkembang berikutan permintaan tinggi pasaran dalam dan luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif, berkata walaupun projek ternakan ikan dan udang di negeri ini menghasilkan pengeluaran tinggi setiap tahun, ia tetap tidak dapat memenuhi permintaan tinggi pengguna.

Beliau berkata, ada kira-kira 8,000 sangkar ikan dan kolam udang di seluruh Pahang yang hasilnya untuk memenuhi pasaran tempatan dan luar negara dengan daerah Temerloh, Pekan, Jerantut dan Rompin menjadi pengeluar utama.

Katanya, mereka yang terbabit dengan aktiviti ternakan ikan dan udang secara komersial mampu mendapat pulangan menguntungkan susulan permintaan tinggi daripada pemilik restoran makanan laut serta hotel.

"Selain terbabit dengan ternakan ikan dan udang, usahawan Bumiputera juga boleh menceburi bidang pengeluaran benih ikan patin, talapia dan keli yang kini mendapat permintaan menggalakkan.

"Permintaan terhadap benih ikan patin dan talapia merah begitu tinggi, maka projek berkenaan boleh diusahakan dengan sokongan Jabatan Perikanan jika ada modal dan kemahiran," katanya pada Karnival myDOF Pahang 2016 di Dewan Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Datuk Adnan Hussain.

Pelbagai acara diadakan pada karnival sehari itu seperti pertandingan memasak, mewarna bagi kanak-kanak, pameran, fotografi, menghias akuarium, jualan ikan hiasan, teka berat penyu dan jumlah ikan.

91 dibaca
Berita Harian X