Rabu, 14 Disember 2016 | 10:30pm

Keputusan mahkamah bukti dakwaan saya benar - Saiful

MOHD Saiful Bukhari Azlan.

 

KUALA LUMPUR: Pengadu kes liwat, Mohd Saiful Bukhari Azlan menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengenepikan sabitan, membuktikan dakwaannya ke atas bekas majikannya itu adalah benar.

"Berkat doa, istiqamah dan sabar selama lapan tahun, pada hari ini, Mahkamah Persekutuan sekali lagi ssebulat suara memutuskan bahawa dakwaan saya selama ini benar.

"Sebagai pengadu, saya berharap dan mendoakan perjalanan melalui proses mahkamah ini sudah sampai ke penghujungnya.

"Saya dan keluarga menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan, hari ini," menurut catatan di blognya hari ini.

Bagaimanapun, Saiful berkata, keputusan itu bukan titik noktah bagi sesetengah pihak yang sentiasa menjadikan aduannya sebagai modal politik mereka.

Katanya, perkara itu jelas sejak baru-baru ini apabila terdapat gerakan dan kempen untuk membebaskan Anwar giat dijalankan.

"Yang menyedihkan saya, ada pihak, serta beberapa tokoh yang selama ini saya sanjung, turut sama-sama berkempen untuk membebaskan beliau.

"Mereka ini seakan tidak menghiraukan nasib dan perasaan saya yang mahu menuntut keadilan dalam kes ini. Bagi mereka, kuasa dan survival politik lebih penting daripada keadilan seorang insan kerdil," katanya.

Berita Harian X