Khamis, 15 Disember 2016 | 12:12am

Bateri power bank, telefon, rokok elektronik perlu lulus SIRIM

KUALA LUMPUR: Garis panduan mengawal selia bateri yang digunakan pada power bank, telefon bimbit dan rokok elektronik, akan diwartakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tahun depan.

Susulan pewartaan garis panduan kawal selia terbabit, semua pengeluar dan pengedar berkaitan perlu mendapatkan kelulusan pensijilan SIRIM terhadap produk masing-masing, sebelum dipasarkan kepada pengguna.

Langkah itu diambil kerana KPDNKK memandang serius aspek keselamatan gajet terbabit yang setakat ini belum mempunyai sebarang piawaian khusus, demi melindungi hak dan keselamatan pengguna di negara ini.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh, berkata garis panduan yang sedang disiapkan itu merangkumi aspek penjualan dan keselamatan bateri, keperluan pembangunan perundangan dan spesifikasi pengujian barangan terbabit.

"Semua pihak berkaitan wajib mendapatkan pensijilan SIRIM terhadap produk mereka, bagi menjamin hak serta keselamatan pengguna, yang turut dinasihatkan hanya membeli barangan dengan pengesahan rasmi bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Ketika ini, pengguna masih keliru dan menganggap bateri pada power bank, telefon bimbit dan rokok elektrik dalam pasaran selamat digunakan, sedangkan ia tidak mempunyai sebarang piawaian yang menjamin hak serta keselamatan pengguna," katanya dalam kenyataan kepada BH, semalam.

KETUA Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh. - Foto Asyraf Hamzah

Beliau mengulas laporan bersiri oleh BH sejak Ahad lalu, yang mendedahkan penjualan barangan elektrik dan elektronik tanpa kelulusan SIRIM di negara ini, mendedahkan pengguna kepada bahaya kerana boleh mencetuskan kejadian tidak diingini.

BH juga melaporkan pendedahan SIRIM yang mengesahkan, semua power bank yang dijual secara meluas dalam pasaran kerana menjadi sebahagian daripada keperluan pengguna telefon pintar negara ini, tidak mempunyai sebarang pensijilan keselamatan agensi itu.

Sebelum ini, tiga produk terbabit tidak termasuk dalam senarai 34 barangan elektrik yang diawasi Suruhanjaya Tenaga (ST) dan wajib mempunyai pensijilan SIRIM.

Semakan BH mendapati, sejak awal tahun ini sekurang-kurangnya lima kes membabitkan letupan bateri power bank dan pengecas bateri telefon bimbit berlaku. Selain kerosakan harta benda seperti rumah dan kenderaan terbakar, seorang suri rumah maut terkena renjatan elektrik.

Jamil berkata, semua ketetapan yang disenaraikan dalam garis panduan berkenaan akan dikuatkuasakan dengan tindakan undang-undang selepas 24 bulan ia diwartakan.

"Meskipun ketika ini, tiada peruntukan khusus mewajibkan kelulusan SIRIM terhadap produk masing-masing, peserta industri dinasihat mendapatkan pensijilan SIRIM sebelum penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan sepenuhnya.

KERATAN Akhbar BH 12 Disember 2016.

"Mereka tidak boleh mengambil ringan isu ini kerana kita ada peruntukan undang-undang yang boleh melindungi hak pengguna," katanya.

Jamil turut memberi jaminan, kementerian akan bertindak tegas jika mengesan sebarang penggunaan label SIRIM palsu dan penjualan barangan tidak selamat kepada pengguna.

"Orang ramai juga boleh membantu dengan melaporkan peniaga yang tidak beretika ini kepada kementerian supaya kegiatan mereka dapat dibanteras sepenuhnya," katanya.

Katanya, sebarang penggunaan label SIRIM palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen (8) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu denda sebanyak RM15,000 terhadap syarikat dan RM10,000 bagi setiap barangan yang dijual menggunakan label itu.

Beliau berkata, jika barangan yang dijual didapati tidak selamat kepada pengguna, kementerian boleh mengambil tindakan kepada pengilang, pemborong dan peruncit, mengikut Seksyen 21, Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Katanya, jika disabit kesalahan, syarikat boleh dikenakan denda maksimum RM250,000 atau RM500,000 bagi kesalahan kedua, manakala RM100,000 kepada individu atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

KERATAN Akhbar BH 11 Disember 2016.

INFO:

  • 40% anggaran produk elektrik terutama peranti dan aksesori telekomunikasi tiada kelulusan SIRIM.
  • 34 jenis barangan elektrik wajib SIRIM di bawah kawalan Suruhanjaya Tenaga
  • 5 kejadian letupan power bank dan pengecas telefon tahun ini

KERATAN Akhbar BH 11 Disember 2016.
Berita Harian X