Khamis, 15 Disember 2016 | 1:08am

Pegawai Imigresen kena jel 20 tahun, denda RM63,000

SHAH ALAM: Seorang pegawai Imigresen dipenjara 20 tahun dan didenda RM63,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan rasuah, kira-kira empat tahun lalu.

Hakim Asmadi Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap KR Vikneswaran, 35, dan mengarahkan hukuman bermula semalam, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dan pembelaanya hanya rekaan semata-mata.

Asmadi memerintahkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap tuduhan, manakala bagi hukuman denda pula RM20,000 untuk tuduhan pertama, RM12,500 untuk tuduhan kedua dan ketiga dan RM18,000 bagi tuduhan keempat.

Beliau bagaimanapun mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula semalam.

Bagi tuduhan pertama, Vikneswaran didakwa meminta untuk dirinya suapan RM4,000 daripada R Laksuman Roa, 31, sebagai dorongan melepaskan dua lelaki warga India yang ditahan Imigresen, manakala tuduhan kedua, meminta wang tunai RM2,500 daripada orang sama bagi melepaskan seorang lagi lelaki warga India.

Tuduhan ketiga, tertuduh didakwa bersetuju menerima rasuah dari orang sama berjumlah RM3,600 bagi melepaskan dua warga India serta tuduhan keempat bersetuju menerima rasuah RM2,500 daripada orang sama untuk melepaskan seorang lelaki warga India.

Pertuduhan bagi meminta suapan adalah mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala pertuduhan menerima rasuah mengikut Seksyen 17(a) akta sama.

Asmadi membenarkan rayuan peguam tertuduh, Gurdit Singh, yang memohon hukuman penjara ditangguhkan sementara proses rayuan di Mahkamah Tinggi dengan syarat denda serta wang jaminan berjumlah RM50,000 dibayar sebelum Jumaat ini.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Hazirah Azeman dan Mohammad Heikal Ismail.

Berita Harian X