Khamis, 15 Disember 2016 | 7:51am

Syukur, sedekah tingkat kualiti jiwa

FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

BELAJAR bersyukur atas nikmat diberi walaupun sedikit. Justeru, bersyukur dengan bersedekah memberikan pulangan lumayan pada akhirat. Syukur dapat dibentuk dengan tiga kaedah iaitu menerusi lisan, hati dan amalan. Ikuti perbincangan topik syukur bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam segmen Islam Itu Indah di IKIMfm.

"DAN (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Surah Ibrahim, ayat 7).

Usah ditunggu bahagia baharu memanjatkan syukur, sebaliknya panjatkan syukur, maka bahagia akan menyusul. Dimensi kehidupan wujud dalam pelbagai situasi. Oleh itu, jangan ditunggu banyaknya nikmat, tetapi belajarlah bersyukur walau atas nikmat yang sedikit.

Itu sebahagian sedutan perkongsian Islam Itu Indah di IKIMfm yang bersiaran jam 10.15 pagi setiap Rabu. Kali ini, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menekankan prinsip untuk membugarkan perasaan syukur bukan sekadar saat tersungkur, malah ketika gembira dan nikmat berbaur.

Sesungguhnya, semakin kuat menzahir rasa syukur, nikmat akan bertambah, sekali gus menambah baik kualiti jiwa. Ia menepati firman Allah SWT mafhumnya: "Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)". (Surah Ibrahim, ayat 34).

Pertambahan nikmat terbahagi kepada dua, iaitu pertambahan dari sudut kuantiti dan kualiti. Justeru, bersyukur dengan lisan, dalam tindakan mahupun menerusi hati kerana ia selaras dengan tujuan nikmat itu diberi.

Pulangan labur harta sebagai sedekah

Misalnya, syukur saat miliki harta dengan melakukan sedekah. Harta akan berkurangan jika dibelanjakan, tetapi jika dilaburkan sebagai sedekah, ia akan memberi pulangan lebih lumayan di alam sana. Ia jelas dinyatakan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: "Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui." (Surah Al-Baqarah, ayat 261).

Menerusi sedekah juga bukan sekadar kuantiti ganjaran bertambah, malah kualiti jiwa juga berubah. Inilah yang didamba setiap manusia untuk beroleh jiwa yang lebih bahagia dengan keberkatannya ada.

Jalan bertemu kebahagiaan bergantung kepada kualiti jiwa yang hanya akan datang daripada jiwa bersyukur. Melahirkan jiwa bersyukur perlu kepada sifat qanaah (bercukupan), iaitu cukup dengan sedikit dan jika berlebih mampu untuk dibahagi-bahagikan.

Dengan cara itu, hati akan lebih lapang dan menawarkan jiwa yang lebih sihat serta segar.

Satu lagi cara untuk menambah kualiti jiwa adalah dengan fokus pada kelebihan yang ada berbanding kekurangan. Ironinya, walau sekecil manapun nikmat yang dikurnia ia akan dirasakan besar kerana yakin bahawa nikmat itu datang daripada Allah yang Maha Besar.

Acap kali rasa syukur tidak hadir dalam hati saat menerima nikmat kerana fokus diberi hanya kepada nikmat bukan kepada si pemberi nikmat. Nikmat yang besar akan terasa kecil kerana terlalu menumpu kepada nikmat diterima.

Tiga kaedah bentuk syukur

Cuba alihkan cara fokus dengan melihat di sebalik nikmat diterima. Justeru, walau sekecil manapun nikmat di depan mata, hakikatnya akan melahirkan rasa yang besar di dalam jiwa.

Selain itu, usah taksub melihat individu yang berada di atas kerana ia membawa jiwa semakin kerdil sekali gus mengurangkan rasa syukur dalam diri.

Syukur dapat dibentuk dengan tiga kaedah. Pertama menerusi lisan. Lazimi mengungkap kalimah 'Alhamdulillah'. Secara tidak langsung ia melatih diri untuk membesarkan pemberi nikmat dan membersihkan hati serta terhindar daripada sifat hasad.

Di samping itu, didik hati untuk sentiasa bergantung harap pada-Nya semata-mata. Tidak rasa memiliki, tetapi tahu diri dimiliki oleh-Nya. Menerusi kaedah syukur dengan hati akan menjadikan diri lebih tunduk kerana sedar setiap nikmat datangnya daripada sifat kasih sayang Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengampun.

Akhir sekali, untuk syukur perlu kepada amalan atau tindakan. Taati perintah Allah dan jauhi segala larangan-Nya. Belajar untuk wujudkan rasa malu dengan Allah atas kegagalan membalas kebaikan yang Allah curahkan tetapi lebih lega melakukan kemungkaran dan kemaksiatan.

Justeru, usahakan sebaik mungkin mewujudkan perasaan syukur dan disuburkan ke dalam diri walau sering berdepan kesukaran. Yakinlah bahawa pada kesyukuran letaknya kebahagiaan. Sedarlah bahawa kita terlalu banyak berhutang kepada Allah: Berhutang untuk syukur atas nikmat yang tidak pernah luntur.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X