Khamis, 15 Disember 2016 | 5:46pm

Ibu dua anak curi komputer riba didenda RM350

NORFADHILAH Zamani didenda RM350 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri sebuah komputer riba bernilai RM1,500 di sebuah pasar raya di Jalan Tun Ali, September lalu. - Foto Nurul Fhatihah Zakinan
NORFADHILAH Zamani didenda RM350 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri sebuah komputer riba bernilai RM1,500 di sebuah pasar raya di Jalan Tun Ali, September lalu. - Foto Nurul Fhatihah Zakinan

AYER KEROH: Seorang ibu kepada dua anak didenda RM350 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri sebuah komputer riba bernilai RM1,500 di sebuah pasar raya di Jalan Tun Ali, September lalu.

Norfadhilah Zamani, 25, dari Bukit Baru membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menolong menghapuskan komputer riba jenama HP milik Muhammad Riduan Daud, 22, sebagai harta curi di sebuah premis dalam pasar raya Ocean di Jalan Tun Ali, akhir September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nora Yaacob, memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Muhammad Hazri Hanafi, merayu hukuman diringankan dengan alasan anak guamnya tidak bekerja.

Mahkamah kemudian mengenakan denda RM350 terhadap tertuduh dan penjara sebulan jika gagal dibayar.

Berita Harian X