Khamis, 15 Disember 2016 | 9:20pm

Honda Civic 1.5TC dinobatkan Kereta Tahunan 2016


HONDA Civic 1.5TC - Foto Azhar Ramli

KUALA LUMPUR: Honda Civic 1.5TC dinobatkan sebagai Kereta Tahunan 2016 pada Malam Anugerah Kereta Tahunan Malaysia (COTY) 2016 di sini, malam ini.

Kereta itu turut memenangi anugerah kategori Sedan Keluarga Tahunan menewaskan satu lagi varian Honda Civic, 1.8-liter bukan turbo dan model kereta Eropah membabitkan Peugeot 408 e-THP, Volkswagen Jetta 1.4 TSI dan the Ford Focus 1.5 Trend.

Melengkapkan kegemilangan Honda ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Honda Malaysia Sdn Bhd, Yoichiro Ueno, dinamakan sebagai Tokoh Automotif Tahunan 2016.

Ueno dipilih memenangi anugerah berkenaan atas keupayaannya memacu jenama Honda untuk bersaing dalam kalangan pemimpin pasaran tradisional yang mana pada pertengahan tahun ini, jenama Honda mencapai kedudukan kedua dari segi jumlah jualan di Malaysia.

Pengerusi Panel Hakim Anugerah Kereta Tahunan Malaysia 2016, Yamin Vong, berkata Honda Civic 1.5TC menampilkan perbezaan agak radikal berbanding model sebelumnya apabila ia "membuka mata" dan membuatkan ramai memberi perhatian terhadap kemunculannya di pasaran.

"Model Civic itu juga menggembirakan pembeli dan pakar penganalisis permotoran menerusi pakejnya dari segi gaya, kejuruteraan, nilai jenama yang kuat dan harga yang berdaya saing," katanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menjadi tetamu kehormat pada malam anugerah itu.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ishak Isham; Pengerusi Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Muhamad Noor Yacob; dan Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari.

Anugerah COTY 2016 dipilih daripada 11 pemenang kategori anugerah, yang dipilih oleh panel hakim COTY 2016. Pemenang bagi setiap kategori dipilih selepas perbincangan teliti oleh ahli panel sepanjang tempoh pertandingan dari 1 November 2015 hingga 31 Oktober 2016.

Jenama nasional mengungguli banyak kategori dengan Perodua Bezza 1.3 Advance menerima jumlah undi tertinggi dalam pungutan suara dalam talian, untuk memenangi kategori Pilihan Rakyat 2016.

Proton Saga, Proton Persona dan Perodua Bezza juga menerima anugerah dalam kategori Anugerah Khas, sebagai penghormatan kepada nilai untuk wang, peningkatan kecekapan bahan api serta keupayaan reka bentuk tempatan yang dihasilkan sendiri.

Anugerah COTY yang dianjurkan oleh MAI adalah anugerah permotoran utama di negara ini. Ia dilancarkan pada 2002 oleh sekumpulan editor permotoran dan dijenamakan semula pada tahun ini dengan penganjuran oleh MAI.

INFO

Pemenang Anugerah Kategori COTY 2016

* Kereta Pertama (Entry Level) - Perodua Bezza 1.3 Advance

* Kereta Kompak - Volkswagen Vento

* Sedan Keluarga Terbaik - Honda Civic 1.5TC

* Trak Pikap - Ford Ranger 3.2 WildTrak Automatic 4x4 High Rider t

* Kereta Eksekutif Muda - Mercedes-Benz C 180

* Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) Kompak - Toyota Sienta 1.5

* MPV Tujuh Tempat Duduk - Toyota Vellfire 2.5

* Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) Berharga Sehingga RM300,000 - KIA Sorento 2.2 CRDi

* SUV Berharga Melebihi RM300,000 - Porsche Macan GTS

* Crossover - Mazda CX5 Skyactiv-D 2.2L

* Premium Kompak Executive - BMW 118i Sport

Anugerah Khas ( 6 kategori)

* Nilai untuk wang - Proton Saga

* Teknologi Diesel Berteknologi Tinggi Paling Mmampu Milik di Malaysia - Mazda SkyActiv-Diesel

* Pencapaian Rekabentuk Paling Berkesan - Perodua Bezza

* Model Penjimatan Bahan Api Paling Meningkat - Proton Persona

* Perintis Pengeluaran Plug-in Electric Hybrid (PHEV) - Volvo Car Malaysia

* Prestasi Eksport Terbaik - Mazda Malaysia Sdn Bhd

Berita Harian X