Jumaat, 16 Disember 2016 | 12:14am

Uber akan berkembang ke beberapa bandar lagi


PENGURUS Besar Pengembangan Perniagaan Malaysia, Uber, Kenny Choong menunjukkan laman aplikasi Uber ketika sesi pembentangan kepada media di Jalan SS13/6, Petaling Jaya. - Foto Khairull Azry Bidin

PETALING JAYA: Malaysia menjadi antara pasaran yang berpotensi besar kepada perkhidmatan Uber selepas mencatat pertumbuhan memberangsangkan dalam penyediaan perkhidmatan perkongsian kenderaan sejak tiga tahun lalu.

Susulan itu, Pengurus Besar bagi Pengembangan Perniagaan Malaysia Uber, Kenny Choong, berkata syarikat berkenaan bercadang mengembangkan operasinya ke beberapa bandar lagi pada tahun hadapan.

"Uber terus mendapat tempat dalam kalangan pengguna di Malaysia. Kami kekal positif dengan pasaran Malaysia.

"Ketika ini Uber boleh didapati di lapan bandar dan kami jangkakan lebih banyak bandar akan mendapat akses Uber tahun depan," katanya pada taklimat media di sini, pada Khamis.

Yang turut hadir, Ketua Komunikasi Uber Malaysia dan Singapura, Leigh Wong.

Ketika ini, Uber beroperasi di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Ipoh, Kota Kinabalu, Kuching, Melaka dan Seremban. 

Kenny berkata, pembukaan laluan transit aliran massa (MRT) bermula Jumaat bagi fasa pertama dan keseluruhan laluan Sungai Buluh Kajang Julai depan akan menjadi pemacu utama pertumbuhan Uber. 

"Berdasarkan data kami, ia menunjukkan 24 peratus daripada penggunaan perkhidmatan Uber bermula atau berakhir di stesen transit aliran ringan (LRT). 

"Dengan adanya MRT, sudah pasti ia akan memberi impak positif kepada perkhidmatan Uber," katanya. 

Beliau berkata, pelaksanaan kaedah pembayaran secara tunai sejak Mei lalu juga menyumbang kepada pertumbuhan penggunaan Uber di Malaysia. 

Uber Malaysia turut melancarkan kempen UberTwelve bermula semalam hingga 26 Disember yang menawarkan hadiah menarik kepada pengguna yang menggunakan perkhidmatan Uber.

INFO: Uber Malaysia

* Beroperasi di Malaysia sejak tiga tahun lalu

* Memiliki puluhan ribu pemandu

* Babitkan keseluruhan perjalanan 128 juta kilometer

* Destinasi utama ialah Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA)

* 31 peratus guna Uber antara jam 10 malam hingga 2 pagi

22 dibaca
Berita Harian X