Rabu, 10 Disember 2014 | 4:35pm
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bergambar selepas menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada wakil-wakil daripada sekolah rendah di Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Turap semula jalan raya selepas kerja pembaikan

PUTRAJAYA: Pihak yang melakukan kerja pembaikan dan penyelenggaraan di jalan raya di sekitar Kuala Lumpur bertanggungjawab menurapnya kembali supaya tidak membahayakan pengguna, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata, sesetengah pihak menuding jari kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai tidak bertanggungjawab terhadap masalah jalan berlubang di sekitar Kuala Lumpur.

"Kita dah beritahu kepada agensi-agensi tersebut, apabila dia gali dia mesti turap semula, kadang-kadang mereka biarkan," katanya sambil menambah antara agensi yang terbabit ialah Tenaga Nasional, Telekom Malaysia dan Syarikat Bekalan Air Selangor.

Tengku Adnan mengulas tindakan gabungan pelbagai kelab permotoran negara yang dikenali sebagai Ikatan Silaturrahim Brotherhood menurap sendiri jalan berlubang di sekitar ibu kota kerana mendakwa pihak berkuasa tempatan enggan melaksanakan tugas berkenaan.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada wakil-wakil daripada sekolah rendah di Putrajaya di sini, hari ini, beliau berkata gabungan itu telah dimaklumkan supaya tidak melakukan kerja-kerja penurapan jalan.

"Kita telah minta mereka tak payah lakukan dan kita akan laksanakan. Walaubagaimanapun dia nak buat, dia nak buat sensasi... ada pihak yang 'spin' (putar-belit) seperti DBKL tidak buat kerja," katanya.

- BERNAMA

34 dibaca
Berita Harian X