Jumaat, 16 Disember 2016 | 10:36am

Wajib ada Lesen Khas Umrah mulai Oktober 2017

DATUK Mas Ermieyati Samsudin. - NSTP/Abdullah Yusof

PUTRAJAYA: Mulai 1 Oktober tahun depan, agensi mengendalikan umrah perlu mendapatkan Lesen Khas Umrah yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, berkata tujuan lesen khas itu adalah untuk memantau dan membangunkan industri pelancongan umrah negara.

Katanya, sebagai prasyarat untuk mendapatkan lesen khas berkenaan, syarikat pengendali umrah berkenaan perlu menjalani Kursus Pemantapan Pengendali Umrah (KPPU) selama dua hari.

"Kursus berkenaan adalah wajib dan perlu dihadiri oleh semua agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah.

"Walaupun lesen berkenaan akan diperkenalkan pada Oktober tahun depan, kursus sudah mula dilaksanakan dan tidak perlu tunggu sehingga Oktober 2017," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai keputusan Mesyuarat Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU), di kementeriannya, di sini hari ini.

Mas Ermieyati berkata di bawah Seksyen 5(2) Akta Industri Pelancongan 1992, syarikat pengendali umrah yang gagal mendapatkan lesen berkenaan boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, selain berdepan dengan pembatalan lesen pelancongan.

Sebelum ini, syarikat pengendali umrah hanya perlu memiliki lesen ke luar negara atau 'outbound' untuk membawa jemaah umrah berkenaan.

Berita Harian X