Jumaat, 16 Disember 2016 | 6:01pm

Tomok cari protege berani cuba pembaharuan

TOMOK mencari anak didik untuk diketengahkan dalam program Mentor Milenia 2017. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
TOMOK mencari anak didik untuk diketengahkan dalam program Mentor Milenia 2017. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Tomok, mencari anak didik yang berani mencuba dan menerima pembaharuan, tidak kisah daripada kalangan bakat lelaki mahupun perempuan.

"Saya mahu mencari bakat baharu yang boleh menyanyi dengan baik dan bersedia untuk menerima serta melakukan pembaharuan dalam persembahan.

"Saya juga tidak kisah sama ada protege itu nanti lelaki atau perempuan. Saya tidak menetapkan syarat tertentu dalam bab berkenaan. Paling penting, mereka harus berani mencuba sesuatu kelainan.

"Saya juga tidak berniat mencari klon yang mahu menjadi seperti Tomok. Sebaliknya kalau boleh, saya mahu menggilap bakat baharu yang mampu menjadi lebih baik daripada apa yang saya capai," katanya kepada BH Online.

Tomok dipilih menggantikan tempat Azlan & The Typewriter dalam musim terbaharu program realiti, Mentor Milenia 2017. Selain dirinya, tiga lagi penyanyi yang kekal memikul amanah sebagai mentor dalam musim terbaharu rancangan popular itu ialah Akim, Hazama dan Black.

Pemilihan Tomok menggantikan Azlan dibuat berdasarkan kredibiliti dan pengalamannya dalam bidang seni sehingga berjaya bergelar juara program, One In A Million dan Versus 2 bersama kumpulan Manifesto.

Uji bakat bagi mencari protege penyanyi berusia 32 tahun itu akan diadakan esok dan Ahad ini, bermula jam 9 pagi hingga 5 petang di Theatrette, Sri Pentas, Bandar Utama.

Mengenai pembabitan sulungnya dalam program itu, Tomok tidak melihatnya sebagai tekanan.

"Setakat ini memang tiada tekanan besar. Bagi saya dan teman artis lain, masing-masing mempunyai pengalaman sendiri. Insya-Allah saya akan cuba memberikan cabaran kepada mentor lain," katanya yang berharap ramai bakat baharu akan menghadiri uji bakat bersamanya selama dua hari ia diadakan.

Mereka yang ingin menghadirinya pula perlulah berusia antara 17 hingga 21 tahun, warga negara Malaysia, tidak terikat dengan sebarang kontrak rakaman selain membawa kad pengenalan, gambar berukuran pasport 3R serta minus one lagu yang bakal dipersembahkan.

Musim pertama Mentor Milenia menyaksikan Fareez yang juga protege Hazama muncul sebagai juara pada persaingan akhir, Mac lalu.

Tomok dalam perkembangan lain baharu saja muncul dengan single berjudul Rempuh, berduet dengan Black.

Berita Harian X