X
Jumaat, 16 Disember 2016 | 7:33pm
AMAR Asyraf dan Tasha Shilla. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
AMAR Asyraf dan Tasha Shilla. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Amar Asyraf terkilan Bangsawan Putera La Galigo ditangguh

AMAR Asyraf. - Foto Nazran Jamel
AMAR Asyraf. - Foto Nazran Jamel

KUALA LUMPUR: Amar Asyraf meluahkan rasa terkilan apabila teater lakonannya, Bangsawan Putera La Galigo, yang sepatutnya dipentaskan selama tiga hari mulai hari ini di Stadium Malawati Shah Alam terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Menurut Amar, selepas enam tahun menyepikan diri daripada bidang teater, sudah tentu naskhah arahan Ketua Jabatan Drama, Pusat Kebudayaan Universiti Malaya, Dr Rosdeen Suboh, menjadi naskhah yang amat dinantikan olehnya.

"Saya memang sudah lama tidak berlakon teater. Kalau ada pun selalunya tugas saya hanyalah menulis skrip ataupun terbabit di belakang tabir. Justeru, apabila tawaran ini datang dan meminta saya untuk membawakan watak utama, sudah tentu saya teruja selain menerimanya dengan senang hati.

"Berikutan pembabitan dalam teater ini juga saya menolak lima tawaran berlakon. Semuanya saya lakukan kerana ingin lebih fokus pada teater ini. Saya tidak kisah rugi kerana watak itu memerlukan saya untuk membuat banyak kaji selidik.

"Jadi, apabila ia ditangguhkan, saya memang berasa amat terkilan. Sampai tepuk dahi jugalah apabila saya mendapat berita penangguhan teater ini, dua minggu lalu," katanya kepada BH Online.

Bukan saja dirinya, malah menurut Amar, pelakon lain turut terkesan dengan penangguhan pementasan teater terbabit.

"Saya kasihan juga dengan pelakon lain seperti Tasha Shilla kerana beliau juga begitu bersungguh-sungguh menjalani latihan. Apapun, saya terus bersikap positif dan yakin teater ini akan dipentaskan juga tahun depan," katanya yang memegang watak sebagai Raja Lumu.

Pelakon lain yang turut terbabit dalam pementasan itu ialah Datuk Ahmad Tamimi Siregar (Pasureq), Raja Azura (Mak Teja), Hafizd Roshdi (Daeng Loklok), Wan Raja (Mayong), Harun Hashim, Zack Kool, Zarina Raja Lawak dan Aliff AF.

Terdahulu, syarikat penerbit teater berkenaan, Keno Production, memaklumkan penangguhan itu adalah bagi memberikan mereka ruang melakukan ubah suai supaya karya ini menjadi lebih besar.

Bangsawan Putera La Galigo mengisahkan sejarah Kesultanan Selangor yang pertama dan ia bakal dipentaskan dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap, Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan.

PIX: Amar Asyraf

ends

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X