Sabtu, 17 Disember 2016 | 12:06am
FUNGSI deria bau yang semakin berkurang boleh menjadi petanda pertama penyakit Alzheimer

Deria bau makin kurang, petanda awal Alzheimer


FUNGSI deria baru yang semakin berkurang disebabkan penyakit itu boleh dikesan 10 tahun lebih awal sebelum pesakit menjadi pelupa.

FUNGSI deria bau yang semakin berkurang boleh menjadi petanda pertama penyakit Alzheimer, lapor kajian terbaharu yang dilakukan di Massachssetts, Amerika Syarikat.

Dalam kajian membabitkan 183 pesakit di Massachusetts General Hospital (MGH), ia mendapati mereka yang mempunyai petanda awal penyakit hidang deria bau tidak mampu mengenalpasti atau mengingati bau-bauan.

Ia adalah laporan terbaharu dan bukti paling jelas yang menyatakan hilang ingatan bukanlah petanda awal penyakit Alzheimer.

Menurut Ketua Penyelidik yang juga Ketua Jabatan Neurologi MGH, Dr Mark Albers, fungsi deria baru yang semakin berkurang disebabkan penyakit itu boleh dikesan 10 tahun lebih awal sebelum pesakit menjadi pelupa.

"Terdapat bukti yang semakin banyak yang menunjukkan penyakit Alzheimer bermula sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum pesakit kehilangan ingatan mereka," katanya.

Diagnostik awal langkah strategik

Penyelidik MGH membangunkan ujian tidak invasif yang membabitkan empat aspek.

Ia direka untuk mengukur kemampuan pesakit tua mengenalpasti, mengingati dan membezakan bau-bauan.

Pada masa ini, Albers dan rakan penyelidiknya sedang merekrut pesakit untuk menyertai kajian berskala lebih besar bagi mengesahkan kajian mereka.

"Seperti yang diketahui, diagnosis dan rawatan awal boleh menghasilkan strategi teraputik yang paling berkesan untuk penyakit Alzheimer.

"Jika keputusan ini boleh diguna pakai, kaedah pengesanan tidak invasif ini boleh membantu untuk mengenalpasti pesakit bagi menjalani terapi yang boleh mengelakkan penyakit Alzheimer daripada berlaku," katanya.

Hidu 10 jenis bauan

Pesakit yang terpilih untuk kajian ini disahkan mempunyai risiko menghidap penyakit Alzheimer selepas menjalani pengimejan magnetik dan ujian memori.

Pertama, pesakit diuji bagaimana bagus mereka boleh mengenalpasti bau-bauan.

Mereka diberikan 10 jenis bau untuk dihidu iaitu pudina, cengkih, kulit, strawberi, ungu, nanas, asap, sabun, anggur atau lemon.

Selepas menghidu setiap satu bau selama dua saat, mereka ditanya sama ada bau itu pernah dihidu atau tidak. Mereka kemudiannya perlu memilih nama bau daripada empat pilihan jawapan yang disediakan.

Ujian kenal pasti bau tambahan

Kedua, diberi ujian mengenai kesedaran dan ingatan terhadap bau berkenaan.

Seterusnya, mereka diberikan 20 soalan yang berkisar mengenai bau yang baru dihidu.

Soalan berkenaan menyenaraikan 10 bau tambahan seperti pisang, bawang putih, ceri, bedak bayi, rumput, campuran buah-buahan, pic, coklat, kotoran dan oren.

Akhir sekali, mereka diuji bagaimana mereka boleh membezakan bau-bauan yang disediakan.

INFO

  • Alzheimer adalah jenis nyanyuk yang paling umum. Nyanyuk adalah istilah umum untuk sekumpulan penyakit yang berkaitan dengan ingatan dan kemampuan intelektual yang boleh mengganggu kegiatan harian.
  • Penyakit Alzheimer menyumbang sekitar 50 hingga 60 peratus masalah nyanyuk.
  • Alzheimer bukanlah gejala penuaan biasa.
  • Alzheimer akan semakin menjadi semakin kronik kerana ia adalah penyakit yang progresif.
Berita Harian X