
KUANTAN: Dua pemberita sambilan BH antara 784 graduan menerima ijazah, diploma dan sijil sempena Majlis Konvokesyen dan Pentauliahan Kemahiran Malaysia, Kolej Yayasan Pahang (KYP), hari ini.
Siti Nur Hidayah Mahmud, 21, yang bertugas di BH Biro Pahang dan Attirmidzie Rahman, 21, di BH Biro Kelantan menerima Diploma Kewartawanan masing-masing pada majlis yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, dekat sini.
Majlis konvokesyen itu dihadiri Menteri Besar yang juga Pengerusi Yayasan Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengurus Besar Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi.
Pada majlis sama, pelajar cacat pendengaran jurusan Diploma Grafik dan Rekabentuk Multimedia, Alif Hajmi Bahari, 22, dipilih sebagai penerima hadiah kecemerlangan Menteri Besar, manakala hadiah kecemerlangan kokurikulum milik graduan Diploma Sains Komputer, Nur Fazirah Bakri, 22, dengan masing-masing menerima piala dan wang tunai.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang majlis konvokesyen itu seperti pameran, jualan dan taklimat pendidikan di kolej berkenaan.