Sabtu, 17 Disember 2016 | 4:21pm

Kembalikan hasil GST kepada rakyat - Najib


NAJIB (tengah) bergambar selepas menyampaikan kunci rumah pada Program Pembasmian Miskin Bandar (PPKB) Pekan di Kampung Pulau Jawa, Kuantan, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata segala tindakan dan dasar dilaksanakan kerajaan adalah untuk membantu dan menjaga kebajikan rakyat supaya mereka menikmati kehidupan lebih baik.

Perdana Menteri berkata, ia termasuk pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang meningkatkan hasil negara sebelum disalurkan kepada rakyat menerusi pelbagai program antaranya seperti Program Pembasmian Kemiskinan Bandar, Rumah Mesra Rakyat, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan dan nelayan.

Katanya, kerajaan menerima tekanan termasuk kritikan apabila memperkenalkan GST tetapi ia harus dilakukan bagi membantu golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) seperti yang giat dilakukan sekarang.

"Apa kita buat adalah untuk membantu rakyat, mungkin ada yang tidak populis seperti GST di mana ramai kata ia tidak perlu dilakukan...baru-baru ini saya berbual dengan Perdana Menteri India (Narendra Modi) yang menyatakan negara mereka akan melaksanakan GST dengan kadar tertinggi mencecah 23 peratus.

"Paling rendah enam peratus dan tiada barang dikecualikan GST, di Malaysia 4,000 barang dikecualikan GST. Di sini kita dikutuk tetapi kalau tiada (GST) mana hendak dapat hasil dengan hasil daripada minyak semakin berkurangan.

"Jawapannya mesti ada kutipan hasil dan kita kembalikan semula kepada rakyat," katanya berucap pada majlis penyerahan kunci rumah dan kios perniagaan di bawah Program Pembasmian Miskin Bandar (PPKB) Pekan kepada 21 penerima di Kampung Pulau Jawa dekat sini, hari ini.

120 dibaca
Berita Harian X