Sabtu, 17 Disember 2016 | 7:30pm

Delia bolot hadiah berganda Skuasy Terbuka Malaysia

PEMAIN skuasy wanita nombor dua negara, Delia Arnold. - Foto BERNAMA
PEMAIN skuasy wanita nombor dua negara, Delia Arnold. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Ia bagaikan kejayaan berganda sempena sambutan Krismas buat pemain skuasy wanita nombor dua negara, Delia Arnold apabila merangkul kejuaraan beregu wanita dan beregu campuran pada Kejohanan Skuasy Beregu Terbuka Malaysia, sebentar tadi.

Pemain berusia 30 tahun itu yang berpasangan dengan adiknya, Rachel, 20, meraih gelaran kategori beregu wanita selepas menewaskan pasangan muda, Chan Yiwen-S. Sivasangari 11-5, 7-11, 11-8 dalam masa 27 minit permainan.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu kemudian bergandingan dengan seorang lagi pemain kebangsaan, Sanjay Singh Chal untuk mengalahkan gandingan Mohd Syafiq Kamal-Sivasangari 11-10, 5-11, 11-9 dalam acara beregu campuran, sekali gus mencipta sejarah sebagai pemain pertama merangkul kedua-dua gelaran itu.

"Pencapaian ini sudah semestinya hadiah Krismas paling bererti bagi saya. Ia menjadikan sambutan Krismas kali ini lebih bermakna.

"Dalam acara beregu wanita, Chan dan Sivasangari membuat pukulan yang baik menyebabkan kami sedikit bergelut, mujur kami memenangi perlawanan ini," katanya kepada pemberita.

Pilihan kedua, Aifa Azman-Andrea Lee pula menduduki tempat ketiga dalam acara beregu wanita apabila menumpaskan gandingan Aika Azman-Lai Wen Li 11-8, 11-6.

Sementara dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, Andrea yang bergandingan dengan Ng Eain Yow gagal mengulangi pencapaian tempat ketiganya itu selepas tumpas 10-11, 11-8, 9-11 kepada Ivan Yuen-Rachel.

Dalam pada itu dalam kategori beregu lelaki, gandingan dua pemain terbaik negara, Ivan-Mohd Nafiizwan Adnan tidak mampu menyekat kehebatan beregu pilihan utama, Zac Alenxander-Rex Hendrick dari Australia.

Selepas kalah 6-11 pada set pertama, pasangan negara yang adalah pilihan kedua kejohanan, memenangi set kedua 11-10, bagaimanapun di set penentuan mereka terpaksa akur kepada pasangan Australia itu apabila kalah 8-11 dalam perlawanan yang berlangsung selama lebih sejam itu.

Juara bertahan Mohd Nafiizwan berkata, kekurangan pengalaman beraksi dalam acara beregu adalah antara punca mereka tewas pada perlawanan tersebut.

"Kami bermain dengan baik hari ini, walaupun ini kali pertama kami digandingkan. Kami tewas tipis...saya merasakan kami perlu berlatih dan beraksi lebih kerap dalam acara beregu," katanya.

Bagi Ivan, gandingan mereka itu menjanjikan peluang yang cerah buat negara pada Sukan SEA 2017 dan Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

Tempat ketiga acara berkenaan pula menjadi milik pasangan Eain Yow-Mohd Syafiq yang mudah menewaskan Addeen Idrakie-Sanjay Singh 11-4, 11-7.

Juara acara beregu memenangi hadiah wang tunai RM3,000, manakala tempat kedua dan ketiga, masing-masing menerima RM1,500 dan RM1,000, berserta pingat. - BERNAMA

Berita Harian X