Ahad, 18 Disember 2016 | 1:17pm
Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2017 yang dijadual berlangsung pada 9 hingga 14 Januari ini. - Foto fail NSTP/Eizairi Shamsudin
Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2017 yang dijadual berlangsung pada 9 hingga 14 Januari ini. - Foto fail NSTP/Eizairi Shamsudin

Masyuri pasang impian besar Reggata Antarabangsa Langkawi

KUALA LUMPUR: Selepas melakar nama di Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) 2016, jurumudi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Masyuri Rahmat kini memasang impian besar pada penyertaannya di Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2017 yang dijadual berlangsung pada 9 hingga 14 Januari ini.

Kapal layar kendalian Masyuri, Zuhal muncul selaku juara Kelas 2 di RMSIR bulan lalu sekali gus mencipta sejarah selaku pasukan dari Malaysia yang pertama menjulang trofi kemenangan, Piala Jugra.

Bagaimanapun di Langkawi nanti, Masyuri yang muncul naib juara kelas IRC1 bersama pasukan Uranus kemungkinan berdepan saingan berbeza Januari ini apabila bakal menyertai kelas perlumbaan yang berlainan.

"Bagi perlumbaan di Langkawi nanti, mungkin saya akan menyertai kelas Sports bagi menyahut cabaran dari pasukan Navy 1 dari Thailand.

"Kami mahu mencuba menyertai kelas yang disertai lebih banyak pesaing dan mempunyai spesifikasi bot yang sama," kata Masyuri yang tewas kepada pasukan Fujin dari Australia, pada edisi ke-14, Januari lalu.

Setakat ini, RLIR 2017 sudah menerima 27 penyertaan daripada pasukan dari seluruh dunia termasuk juara keseluruhan musim 2015 dari Australia, Oi! yang dikendalikan Peter Ahern dan Rolf Heemskerk.

Edisi ke-15 kali ini turut disertai 12 pasukan dari Malaysia dengan tiga daripadanya adalah pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sebanyak lapan kategori perlumbaan ditawarkan antaranya kelas utama Racing, IRC1, IRC2, Sportsboats, Multihull, Club, Ocean Rover dan White Sail.

Berita Harian X