Ahad, 18 Disember 2016 | 2:13pm

Kejayaan Anatomi lonjak semangat Faizal Tahir


FAIZAL sifatkan kejayaan album Anatomi meraih anugerah Album Terbaik 2016 oleh aplikasi muat turun muzik, Apple Music, baru-baru ini sebagai permulaan yang baik. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Faizal Tahir menyifatkan kejayaan album Anatomi meraih anugerah Album Terbaik 2016 oleh aplikasi muat turun muzik, Apple Music, baru-baru ini sebagai permulaan yang baik terhadap kerjaya nyanyiannya bagi tahun depan.

Kata penyanyi terbabit, pengiktirafan berkenaan juga menjadi pemangkin untuk beliau memberikan yang terbaik buat peminat, yang selama ini begitu setia menyokong kerjaya seninya.

"Saya sendiri terkejut apabila mendapat tahu album ini diiktiraf sebagai Album Terbaik 2016. Sudah tentu pengiktirafan diberikan itu menjadi pembakar semangat untuk saya menghasilkan lebih banyak karya berkualiti pada masa akan datang.

"Seperti pernah saya katakan sebelum ini, bukan anugerah atau penghargaan yang dikejar dalam berkarya, tetapi semua yang saya lakukan ini adalah atas rasa cinta saya terhadap muzik," ujar Faizal ketika dihubungi BH Online.

Album yang baru saja dilancarkan pada 4 November lalu itu memberi penghormatan cukup besar buat penyanyi berusia 38 tahun itu kerana beliau muncul artis Melayu pertama dipilih sebagai pemenang Album Terbaik di kalangan ribuan produk, sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Sementara itu, bercerita mengenai perancangannya pada masa hadapan, naib juara musim pertama rancangan realiti One In A Million ini berkata, jika tiada aral melintang beliau akan mengadakan konsert jelajah di beberapa negeri dalam usaha mempromosikan album baharunya.

"Buat masa ini kami sedang berbincang dengan penaja berpotensi untuk merealisasikan impian berkenaan. Jika perbincangan mencapai kata sepakat, Insya-Allah akan ada konsert jelajah di beberapa lokasi terpilih," ujarnya.

Mengenai peluangnya meraih trofi Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-22 yang akan berlangsung malam ini, Faizal menyerahkan perkara itu kepada juri.

"Seperti saya katakan tadi, menang atau kalah bukanlah faktor utama. Bagi saya, apa yang lebih mengujakan adalah bagaimana reaksi peminat terhadap video muzik Dirgahayu yang akan ditayangkan seiring dengan persembahan kami nanti.

"Video itu memang hebat dan saya harap peminat saya serta Datuk Siti Nurhaliza akan terhibur menontonnya," katanya.

PIX: Faizal Tahir

ends

Berita Harian X