Ahad, 18 Disember 2016 | 4:57pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof disambut oleh orang ramai ketika hadir merasmikan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak (8 Pakej Kerja Jajaran ke Miri) di Eastwood Valley Club, Miri. - Foto Mohd Radzi Bujang

Najib lancar lapan pakej Lebuh raya Pan Borneo di Miri


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem (kiri); Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Openg (dua dari kanan) dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (kanan) merasmikan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak (8 Pakej Kerja Jajaran ke Miri) di Eastwood Valley Club, Miri. - Foto Mohd Radzi Bujang

MIRI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan lapan lagi pakej jajaran Lebuhraya Pan Borneo bernilai RM12.5 bilion di Miri untuk memastikan kelancaran projek mega di Sarawak itu.

Kelapan-lapan pakej sepanjang 602 kilometer itu adalah sebahagian daripada 11 pakej jajaran Lebuhraya Pan Borneo yang dilaksanakan sejak dilancarkan pada 2015.

Berucap ketika merasmikan pakej itu hari ini, Najib berkata, jaringan itu adalah sebahagian daripada jarak 1,089 kilometer lebuh raya tanpa tol dibina di Sarawak dengan anggaran kos keseluruhan projek RM16 bilion.

Beliau berkata, projek akan memperluaskan jaringan jalan raya sedia ada dari Telok Melano, Sematan seterusnya ke bandar lain di Sarawak.

Katanya, pakej baru itu bakal merancakkan sektor perindustrian dan pelaburan menghubungkan pusat perindustrian di utara negeri ini contohnya di kawasan Kuala Baram dan Piasau, serta pusat Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score).

"Kerajaan mengalu-alukan penyertaan masyarakat tempatan di Sarawak dalam pelaksanaan projek berkenaan.

"Ramai rakyat Sarawak terbabit secara langsung dan tidak langsung bukan sahaja sebagai pembekal serta vendor, malah berpeluang meningkatkan kepakaran teknikal," katanya.


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir merasmikan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak (8 Pakej Kerja Jajaran ke Miri) di Eastwood Valley Club, Miri. - Foto Mohd Radzi Bujang

Di majlis sama, Najib menyaksikan majlis penyerahan kontrak perjanjian dan surat kurnia kepada kontraktor dipilih melaksanakan projek itu.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Abd Ghani.

Najib berkata, kontraktor Bumiputera di Sarawak daripada kelas B hingga F juga tidak dilupakan, yang mana projek itu memperuntukkan sebahagian kerja kepada mereka seperti pembinaan kawasan rehat, hentian bas dan jejambat pejalan kaki.

40 dibaca
Berita Harian X