Isnin, 19 Disember 2016 | 12:06am

Vie Shantie tak kecil hati

KETIADAAN bintang popular, Neelofa, ketika pertunjukan dan pelancaran fesyen muslimah VHijrah milik bekas isteri Datuk Eizlan Yusof, Vie Shantie Khan, di sebuah hotel terkemuka di ibu kota baru-baru ini menimbulkan sedikit tanda-tanya.

Maklum saja, sebelum ini kedua-duanya boleh dianggap kawan baik, malah mereka juga mengerjakan haji bersama-sama September lalu.

Bahkan ketika itu masing-masing dilihat begitu kerap berkongsi gambar bersama ketika berada di Tanah Suci.

Difahamkan, ada sedikit masalah wujud berhubung koleksi khas 'mesra solat' antara kedua-duanya.

Justeru, apabila peluang bersembang dengan Vie muncul, sudah tentu persoalan mengenai perkara berkenaan diajukan kepada wanita jelita ini. Selain hubungannya dengan Neelofa, ibu kepada tiga anak comel itu turut ditanya mengenai sisi hatinya selepas hampir dua tahun berpisah dengan Eizlan.

Menjawab persoalan mengenai dirinya dengan Neelofa, Vie menafikan hubungan mereka dingin.

"Dia ada menghubungi saya secara peribadi, tetapi dia ada urusan lain yang perlu diutamakan hari ini. Sepatutnya, pertunjukan ini dirancang pada 10 Disember lalu, namun akhirnya ia dilangsungkan pada Jumaat lalu (16 Disember).

"Dalam soal perniagaan, saya percaya rezeki itu terbuka luas. Saya turut mengalu-alukan rekaan muslimah seumpama ini daripada pereka fesyen atau pelabur lain. Rekaan 'mesra solat' ini saya percaya dapat memudahkan golongan wanita untuk beribadat. Ketika mengerjakan haji beberapa bulan lalu, saya sendiri sedar agak susah untuk mendapatkan koleksi sama.

"Jadi, saya beli kain dan meminta abang Putra Aziz jahitkan, sekali gus menyenangkan ibadat haji saya di sana," katanya membuka bicara.

Mengenai desas-desus beliau tidak lagi baik dengan Neelofa seperti sebelum ini, Vie menegaskan, orang di luar sana, yang tidak tahu hujung pangkal, berlebih-lebih dalam menambah cerita.

"Orang akan bercerita itu dan ini. Tak apalah, yang penting kita bersangka baik dengan orang," katanya.

Selepas lama berdiam diri, Vie juga agak sedikit terbuka untuk berkongsi kisah hati selepas berpisah dengan Eizlan.

Vie mendirikan rumah tangga dengan pelakon itu pada 7 Julai 2007. Namun, jodoh mereka tidak panjang apabila kedua-duanya bercerai pada 16 Februari 2015. Hasil perkahwinan selama lapan tahun itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Vie Zaara, 8, Zareef Yusof, 6, dan Vie Zaalia, 3.

Selepas berpisah dengan Eizlan, Vie pernah dikatakan 'intim' dengan pelakon dan pengacara, Zizan Razak. Tidak hanya terhenti di situ, kedengaran pula cerita dirinya akrab dengan lelaki berstatus VIP, malah sudah pun berkahwin lagi.

"Ikutkan, saya tidak mahu dan susah untuk memberi komen dalam soal ini. Bagaimanapun, cukuplah saya katakan diri ini sudah berpunya. Saya selesa untuk tidak bercerita lanjut mengenai hal peribadi.

"Memang ada cerita yang saya dengar mengatakan diri ini sudah berkahwin. Ramai juga yang bertanyakan hal itu kepada saya. Tetapi, saya tak nak bagi orang peluang untuk bercakap dengan memberikan kenyataan. Secara khususnya, memang saya mengenali seseorang," katanya.

Bercerita lanjut mengenai koleksi muslimah VHijrah, Vie memberitahu, ia tercetus sekembalinya daripada mengerjakan ibadat haji. Sebanyak tiga koleksi istimewa masing-masing di bawah nama VHijrah Exclusive, VHijrah x Putra Aziz (kolaborasi bersama Cosry) dan VHijrah X Rizman Ruzaini (Black Label) dilancarkan.

Berita Harian X