Isnin, 19 Disember 2016 | 12:10am

JAS siasat tapak pelupusan sampah cemar alam sekitar

NIBONG TEBAL: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang menghantar pegawainya untuk menyiasat kawasan tapak pelupusan sampah di Pulau Burung yang didakwa terletak berhampiran dengan laut dan menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Pengarah Alam Sekitar negeri, Rosnani Abdullah, berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 jika ada peruntukan undang-undang tidak dipatuhi.

"Merujuk kepada laporan akhbar BH semalam (kelmarin), saya sudah arahkan pegawai JAS untuk membuat tinjauan segera di kawasan yang didakwa tercemar teruk sehingga menyebabkan kehidupan laut pupus.

LAPORAN BH mengenai perairan Pulau Burung yang busuk dan memualkan.
LAPORAN BH mengenai perairan Pulau Burung yang busuk dan memualkan.

"JAS akan melakukan tinjauan di kawasan itu terlebih dahulu dan sekiranya berlaku pencemaran kita akan mengambil tindakan seperti yang pernah dilakukan sebelum ini," katanya kepada BH.

Difahamkan, JAS boleh mengenakan tindakan mengikut Seksyen 34A akta berkenaan yang boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya dan tambahan RM1,000 sehari bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan.

Mengulas lanjut, Rosnani berkata, pada April lalu, JAS pernah mengambil tindakan kepada kontraktor tapak pelupusan sampah berkenaan susulan kejadian ribuan ikan sungai di kawasan itu mati.

"Kita akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan perkara ini tidak berlaku dan akan memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, EXCO Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, pihaknya tidak mengetahui mengenai perkara itu dan perlu melakukan siasatan terlebih dahulu.

"Saya tidak boleh memberi apa-apa komen berhubung laporan itu (pencemaran air di Pulau Burung) kerana tidak melihat lagi keadaan sebenar.

"Saya akan meninjau sendiri kawasan yang didakwa tercemar teruk akibat daripada air larut lepasan (lecet) yang menyebabkan kawasan perairan Pulau Burung tercemar," katanya.

AZIWAN mengambil gambar keadaan air lecet dari tapak pembuangan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal, yang mengalir memasuki kawasan paya bakau dan laut. - Foto Danial Saad
AZIWAN mengambil gambar keadaan air lecet dari tapak pembuangan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal, yang mengalir memasuki kawasan paya bakau dan laut. - Foto Danial Saad

Kerajaan negeri, PBT dibidas

Kerajaan Pulau Pinang dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dibidas kerana gagal mengambil iktibar daripada kematian hidupan laut akibat pencemaran di sepanjang Sungai Persisiran Changkat hingga Pulau Burung di sini.

Ribuan ikan ditemui mati dan terapung sekitar kawasan berkenaan pada Mei lalu, tetapi kerajaan negeri dan PBT didakwa tidak mengambil tindakan apabila pencemaran daripada tapak pelupusan sampah Pulau Burung masih berterusan hingga kini.

Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM) Aziwan Ali, menyifatkan pencemaran perairan berpunca daripada tapak pelupusan sampah Pulau Burung bukan isu baharu kerana sebelum ini pernah didedahkan pertubuhan itu.

Beliau berkata, SAM dan Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang (PKNNPPP) memandang serius kesan pencemaran yang berpunca daripada tapak pelupusan sisa pepejal terbabit terhadap kawasan sekitarnya.

"Malangnya, sehingga kini pihak berwajib terutama PBT, belum membuka mata mereka untuk mengambil sebarang tindakan, walaupun ribuan ikan pernah ditemui mati dan terapung di lokasi terbabit.

"Air larut lesapan (lecet) yang masuk ke sungai atau mengalir ke laut, kebiasaannya mengandungi amonia, logam berat, bahan organik dan sisa pencemaran lain yang berbahaya kepada hidupan marin seperti kerang, ikan dan alam sekitar.

"Jika situasi ini tidak dikawal dan berlarutan, ia bukan sahaja menyebabkan hidupan laut pupus, malah akan menjejaskan kawasan Hutan Simpan Kekal Byram dan secara tidak langsung punca pendapatan nelayan juga turut terjejas," katanya.

Aziwan berkata, kemusnahan pokok bakau sekitar tapak pelupusan sampah itu juga berkemungkinan berlaku akibat limpahan lecet yang mengalir terus ke paya berdekatan terutama ketika hujan lebat.

Beliau menyifatkan, kontraktor yang dilantik kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), kelihatan gagal menjaga dan merawat sisa lecet mengikut piawaian ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Justeru, katanya, Jabatan Perhutanan Negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu menyiasat perkara itu serta mengambil tindakan segera bagi menangani dan menyelesaikan permasalahan terbabit.

"Mereka sepatutnya tidak memberi peluang dan ruang kepada kontraktor mengabaikan aspek alam sekitar. Bukti kemusnahan paya bakau yang jelas kelihatan di sekeliling tapak pelupusan ini dan keluhan nelayan pantai sudah cukup untuk mereka mengambil tindakan agresif dan proaktif," katanya.

JIJIK dan kotor di kawasan tadahan air lecet yang mengalir keluar terus ke kawasan pokok kayu bakau di sebelah tempat pelupusan sampah Pulau Burung. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee
JIJIK dan kotor di kawasan tadahan air lecet yang mengalir keluar terus ke kawasan pokok kayu bakau di sebelah tempat pelupusan sampah Pulau Burung. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee

Aziwan berkata, kemusnahan paya bakau boleh mendatangkan bencana besar kepada ekosistem marin dan akan mempengaruhi kehidupan manusia di sekeliling terutama kepada nelayan yang bergantung hidup dengan tangkapan hasil laut.

"Bencana tsunami pada 2004 yang mengorbankan lebih 230,000 orang dari 14 negara termasuk Malaysia perlu dijadikan pengajaran.

"Kemusnahan paya bakau boleh menyebabkan bencana itu berulang kembali kerana kajian membuktikan hutan berkenaan boleh mempengaruhi pergerakan angin laut dan mengurangkan tekanan gelombang lautan dengan menjadi benteng semula jadi menghalang hempasan tsunami ke kawasan lebih luas," katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Nelayan Changkat, Abdul Rahman Ibrahim, berkata, masalah pencemaran air laut itu sudah disuarakan berkali-kali kepada kontraktor yang menjalankan kerja di tapak pelupusan sampah berkenaan tetapi tidak mendapat layanan sewajarnya daripada mereka.

"Sudah berkali-kali persatuan nelayan membuat aduan kepada pihak kontraktor dan meminta mereka memastikan sisa air dari tapak pelupusan sampah itu tidak mengalir terus ke laut terutama ketika hujan lebat tetapi aduan hanya tinggal aduan.

"Perkara ini juga kami ajukan kepada JAS dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) namun tiada tindakan diambil terhadap kontraktor berkenaan," katanya.

Abdul Rahman berkata, nelayan di kawasan ini mula merasa fobia dan serik untuk menangkap ikan atau mencari kepah di sekitar perairan Pulau Burung kerana bimbang diserang penyakit kulit.

"Kos untuk rawatan di klinik dan hospital yang terpaksa kami tanggung melebihi pendapatan kami sebagai seorang nelayan, dalam keadaan ekonomi sekarang ia sekali gus menambah beban kepada kami untuk menampung kos rawatan," katanya.

BH sebelum ini mendedahkan mengenai pencemaran yang berpunca daripada tapak pelupusan sampah Pulau Burung yang bukan sahaja setakat menimbulkan bau busuk kepada penduduk sekitar, tetapi air larut lesapan (lecet) mengubah kualiti air perairan itu hingga hidupan laut turut pupus.

AZIWAN mengambil contoh air lecet dari tapak pembuangan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal. - Foto Danial Saad
AZIWAN mengambil contoh air lecet dari tapak pembuangan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal. - Foto Danial Saad
PENGERUSI Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang (PKNNPPP), Ilias Shafiee kecewa dengan sikap pihak pengurusan tempat pelupusan sampah yang tidak dapat berbuat apa-apa tindakan sehingga sekarang. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee
PENGERUSI Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang (PKNNPPP), Ilias Shafiee kecewa dengan sikap pihak pengurusan tempat pelupusan sampah yang tidak dapat berbuat apa-apa tindakan sehingga sekarang. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee
HASHIM Shafie, 57, menunjukkan kawasan pokok kayu bakau yang mati akibat daripada pencemaran air lecet dari tempat pelupusan sampah di Pulau Burung. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee
HASHIM Shafie, 57, menunjukkan kawasan pokok kayu bakau yang mati akibat daripada pencemaran air lecet dari tempat pelupusan sampah di Pulau Burung. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X