Isnin, 19 Disember 2016 | 5:19pm

Pasangan kembar raih 11A


PELAJAR kembar, Nur Qistina Atiqah Mohd Rodzi (kiri), dan Nur Alya Afiqah Mohd Rodzi yang mendapat 11A bergambar bersama 50 pelajar lain yang mendapat 10A dan 81 pelajar 11A selepas menerima keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat. - Foto Fathil Asri

KOTA BHARU: Keputusan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini melakar sejarah buat sepasang kembar seiras apabila masing-masing memperoleh keputusan cemerlang 11A.

Nur Alya Atiqah Mohd Rodzi, dan adiknya, Nur Alya Afiqah, 15, yang juga anak kepada pasangan guru adalah pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, di sini.

Nur Alya Afiqah berkata, beliau dan kembarnya terpaksa mengorbankan masa tidur waktu malam terutama selepas peperiksaan percubaan, baru-baru ini kerana mengulang kaji pelajaran bagi mencapai keputusan cemerlang.

"Kami hanya tidur empat jam setiap malam kerana mengulangkaji sehingga jam 1 pagi dan sambung semula selepas bangun tidur jam 5 pagi sebelum ke sekolah.

"Kami juga menekankan subjek Bahasa Inggeris (BI) dan Sains kerana risau gagal mendapat A dalam peperiksaan sebenar. Namun, pengorbanan kami akhirnya berbaloi dengan keputusan yang diterima hari ini," katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan, di sini, hari ini.

Pasangan kembar itu bertuah kerana turut mendapat tunjuk ajar daripada bap mereka, Mohd Rodzi Mohd Ripin, 43, guru subjek Sains di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Bijiwangsa, Tumpat dan ibu, Siti Rahayu Othman, 40, guru Biologi di SMK Wakaf Bharu, Tumpat.

Nur Alya Atiqah dan Nur Alya Afiqah adalah antara 50 calon PT3 di SMKA Naim Lilbanat, yang memperoleh keputusan 11A, manakala 81 calon lagi mendapat 10A.

Sementara itu, Amal Azzah R Azni, 15, yang juga memperoleh 11A, tidak menyangka menerima berita gembira itu.

Beliau yang juga atlet sekolah berkenaan dalam sukan tae kwan do, tidak menaruh harapan tinggi, lebih-lebih lagi hanya memperoleh 5A dalam peperiksaan percubaan.

"Saya kerap terbabit dengan latihan dan pertandingan tae kwan do dan beberapa aktiviti kokurikulum lain yang mungkin menyebabkan keputusan percubaan PT3 saya tidak memuaskan.

"Namun, selepas peperiksaan percubaan, saya hentikan semua aktiviti luar kelas dan memberi fokus 100 peratus terhadap pelajaran. Hasilnya, saya memperoleh 11A," katanya yang tinggal di Kampung Lembaga, Gua Musang.

40 dibaca
Berita Harian X