Isnin, 19 Disember 2016 | 6:26pm

Trofi Artis Baharu Terbaik rahmat di sebalik duka


SYAMEL dinobatkan sebagai Artis Baharu Terbaik, Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM 22), semalam. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Kesedihan dan kekecewaan Syamel apabila dikaitkan dengan isu lagu ciplak, lenyap apabila dinobatkan sebagai Artis Baharu Terbaik, Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM 22), yang berlangsung semalam.

Sambil menyifatkan kejayaan itu sebagai permulaan yang baik terhadap kerjaya nyanyiannya tahun depan, pemilik nama Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 23, itu turut mengakui trofi dimenanginya sebagai rahmat di sebalik duka.

"Secara jujur, saya memang tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang apabila terpalit isu ciplak baru-baru ini. Malah, kalau boleh saya mahu melupakan lagu Hidup Dalam Mati itu dengan menumpukan perhatian pada single baharu. Bagaimanapun saya akur, lagu itulah yang menaikkan nama saya seperti hari ini.

"Saya turut percaya ada hikmahnya di sebalik segala apa yang terjadi. Saya pula mengimpikan sesuatu yang besar berlaku selepas insiden itu dan kemenangan ini adalah satu daripadanya," katanya ketika ditemui pada malam kemuncak AIM 22 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Turut bersaing dalam kategori itu ialah DeFam, Bella Nazari, Lyia Meta dan Projector Band.

Naib juara Akademi Fantasia (AF) 2015 ini turut mengharapkan kerjaya seninya akan terus menyinar dan keyakinannya semakin menebal bersama anugerah diterimanya itu.

"Selain kemenangan ini, saya juga mempunyai program baharu yang akan ditayangkan tidak lama lagi. Apa yang saya nampak, semua ini satu permulaan yang baik untuk tahun 2017.

"Impian saya seterusnya adalah untuk mengadakan konsert dan juga menang trofi Vokal Terbaik," ujarnya.

Percaya kejayaan yang diraihnya itu hasil doa dan sokongan orang di sekelilingnya, Syamel mendedikasikan kemenangan berkenaan buat mereka yang digelar sebagai tulang belakangnya.

"Kejayaan ini adalah anugerah dikongsi bersama peminat. Walaupun dilanda pelbagai dugaan, mereka tetap percaya dengan bakat saya.

"Mereka jugalah orang yang sama menyokong sejak saya keluar dari AF lagi. Saya balas segala jasa mereka dengan trofi ini dan juga lagu berkualiti," janji anak muda berbakat besar ini.

Berita Harian X