Isnin, 19 Disember 2016 | 10:06pm

Pemandu Uber jumpa bayi bawah pokok

BAYI lelaki yang tidak diketahui bangsanya yang ditemui oleh seorang pemandu Uber di bawah pokok di belakang sebuah apartmen di Subang Jaya, malam tadi. - Foto ihsan PDRM

SUBANG JAYA: Seorang bayi lelaki yang lengkap berpakaian ditemui ditinggalkan di bawah pokok di belakang Apartmen Casa Tiara, SS 16, Jalan Kemajuan, di sini, sebelum ditemui seorang pemandu Uber, malam tadi.

Bayi dianggarkan berusia dua minggu itu ditemui kira-kira jam 11.40 malam selepas pemandu Uber yang baru menurunkan penumpang di lobi apartmen terbabit kebetulan membuka tingkap keretanya ketika melalui kawasan berkenaan dan terdengar suara bayi menangis.

Dia kemudian ternampak seorang bayi sedang menangis dengan kuat dan bergerak-gerak dalam balutan kain yang di tinggalkan di atas tanah di bawah pokok bersama satu beg plastik.

Beliau kemudiannya menghubungi polis memaklumkan perkara itu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) yang bergegas ke tempat kejadian kemudian mengambil bayi yang cukup sifat itu dan dibawa ke Balai Polis Subang Jaya, sementara menunggu ketibaan ambulans berikutan keadaan hujan.

"Bayi berkenaan kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan pemeriksaan mendapati ada sedikit tanda lebam di tangan kirinya, namun belum dapat dipastikan sama ada ia disebabkan kecederaan atau tanda lahir.

"Bayi seberat 2.85 kilogram (kg) itu juga didapati mengalami kembung perut selain tali pusatnya sudah tertanggal. Buat masa ini, bangsanya belum dapat dipastikan dan dia kini diletakkan di wad untuk pemeriksaan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pemeriksaan mendapati beg plastik yang ditinggalkan dengan bayi berkenaan mengandungi beberapa lampin, sabun mandian bayi, susu bayi serta botol susu.

Selain itu, katanya, pemeriksaan mendapati bayi itu pakaikan dengan kain bedung bertulis PPUM berwarna hijau dan pihak PPUM mengesahkan ia milik mereka.

"Kita sedang meneliti kemungkinan bayi berkenaan dilahirkan di hospital itu dan pihak PPUM sedang mengesan sekiranya mereka mempunyai rekod bayi berkenaan.

"Justeru, kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat mana-mana jiran yang baru melahirkan anak, namun tidak lagi mendengar tangisan bayi di rumah mereka supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Berita Harian X