Selasa, 20 Disember 2016 | 7:39am

PT3: Ikhwan Syafie buktikan boleh berjaya tanpa kelas tuisyen


IKHWAN Syafie Mohd Suhaimi yang memperoleh 10A dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). - Foto Rosli Ilham

DUNGUN: "Keputusan ini diharap menjadi pembakar semangat kepada adik-adik saya untuk cemerlang seperti saya", kata Ikhwan Syafie Mohd Suhaimi yang memperoleh 10A dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), semalam. 

Dengan keputusan itu, Ikhwan Syafie menjadikan pelajar cemerlang PT3 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besi, di sini. 

Ikhwan Syafie berkata, dia berusaha keras untuk mencapai keputusan itu, tambahan pula dia tak ikuti kelas tuisyen.    

"Dengan pendapatan ayah yang tidak menentu, saya tidak mampu mengikuti kelas tuisyen seperti rakan lain. Justeru saya perlu belajar sendiri dengan bersungguh-sungguh.

"Ayah bekerja sebagai pembantu tukang rumah dan bertungkus lumus siang dan malam mencari rezeki untuk membesarkan kami adik beradik.

"Oleh itu saya perlu berusaha mencapai keputusan terbaik dan kejayaan hari ini adalah hadiah buat ibu bapa. Ia juga jaminan untuk masa depan yang lebih baik bagi saya dan keluarga," kata anak sulung dari empat beradik itu.

Ikhwan Syafie yang bercita-cita ingin menjadi akauntan berkata, dia tidak mahu ke sekolah berasrama penuh, sebaliknya mahu meneruskan pembelajaran di sekolah itu.

"Saya perlu lebih bersungguh-sungguh untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pula nanti dan bercita-cita untuk mengharumkan nama sekolah selain membanggakan ibu bapa dengan keputusan cemerlang," katanya. 

Berita Harian X