Selasa, 20 Disember 2016 | 6:37pm

Lelaki disangka hilang lemas terjatuh kolam


LOKASI mayat seorang lelaki berusia 22 tahun yang disangka hilang oleh kakaknya ditemui lemas di sebuah kolam berhampiran tapak binaan sekitar bulatan Educity di sini, awal pagi tadi. - Foto ihsan PDRM

ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki berusia 22 tahun yang disangka hilang oleh kakaknya ditemui lemas di sebuah kolam berhampiran tapak binaan sekitar bulatan Educity di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Ang Yan Lan yang bekerja sebagai pemandu jentera berat, dipercayai terjatuh ke dalam kolam ketika membasuh tangan dalam kejadian kira-kira jam 6 petang semalam, sebelum mayatnya ditemui kira-kira tujuh jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Noor Hashim Mohamad, berkata pada jam 11 malam, kakak mangsa dimaklumkan rakan adiknya yang terjumpa Proton Pesona milik Yan Lan di kawasan rumah kongsi berhampiran bulatan Educity menghala ke Taman Nusa Idaman, di sini.

Katanya, sejurus tiba kakak mangsa mendapati kereta adiknya masih dalam keadaan dihidupkan enjin dan barang peribadi termasuk telefon bimbit milik mangsa berada dalam kenderaan itu.

"Kakak mangsa cuba mencari adiknya di sekitar kawasan berkenaan dan kemudian menjumpai sebelah kasut adiknya di tepi kolam buatan, manakala sebelah lagi dalam kolam berkenaan.

"Kakak mangsa kemudian terus ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan kerana bimbang keselamatan adiknya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Noor Hashim berkata, hasil siasatan mendapati mangsa ada memelihara anjing liar di kawasan kongsi berhampiran kolam dan setiap hari ke situ untuk sembahyang di tokong kecil, selain memberi makanan kepada haiwan berkenaan.

"Selepas bermain dengan anjing, mangsa akan mencuci kaki dan tangan di kolam berkenaan sebelum balik ke rumah dan siasatan juga mendapati pada jam 6 petang semalam, mangsa sampai di lokasi dan terus mencari anjing berkenaan untuk memberi makanan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk bedah siasat dan hasil siasatan mendapati punca kematian adalah kerana lemas," katanya.

Berita Harian X