Selasa, 20 Disember 2016 | 8:55pm

FELCRA tarik balik minat terhadap KFM

KUALA LUMPUR: Penarikan balik minat terhadap Kuantan Flour Mills Bhd (KFM), yang dibuat FELCRA Bhd (FELCRA) adalah bagi mengelakkan salah tanggapan umum.

FELCRA dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia tidak memeterai sebarang perjanjian muktamad dengan KFM atau tidak secara muktamad merancang untuk membuat pengambilalihan berbalik (RTO).

"Daftar minat FELCRA yang bertarikh 9 Disember lalu hanya semata-mata tinjauan dan tertakluk kepada perbincangan pengurusan yang biasa.

"Meskipun FELCRA memahami pendedahan obligasi maklumat penting oleh KFM kepada Bursa Malaysia, kami terkejut kerana tiada maklum balas rasmi oleh KFM terhadap daftar minat itu sebelum KFM mengumumkan perkara yang sama kepada Bursa Malaysia," kata syarikat itu.

FELCRA juga menyangkal dakwaan kerjasama dengan pihak tertentu sebagai sebahagian daripada rancangan untuk meningkatkan harga saham KFM.

"FELCRA ingin menyatakan ia tidak menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak berkaitan dengan KFM dan tidak bertanggungjawab bagi sebarang turun naik harga saham," kata kenyataan itu. - BERNAMA

Berita Harian X