Selasa, 20 Disember 2016 | 11:51pm

Tugas saya bersama Perak belum selesai - Shahrom


BEKAS kapten Selangor, Shahrom Kalam. - Foto Osman Adnan

IPOH: "Saya datang ke Perak bukan kerana tawaran tinggi... wang bagi saya bukan segala-galanya," kata bekas kapten Selangor, Shahrom Kalam, selepas menjalani latihan pertama bersama pasukan baharunya The Bos Gaurus, di sini, semalam.

Shahrom yang menyertai Perak bersama Hafiz Kamal mengakui berat untuk meninggalkan The Red Giants tetapi sebagai pemain profesional, beliau terpaksa membuat pilihan terbaik. 

"Ingin menyelesaikan tugas yang tidak habis adalah faktor mendorong saya pulang semula ke Perak untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan," katanya.

Beliau yang pernah menyarung jersi Perak pada musim 2011 hingga 2013 berasakan inilah masa yang tepat bagi melaksanakan impian yang tidak tercapai selama tiga musim itu.  

"Dari pengamatan, saya tampak kesungguhan Perak untuk mencapai sesuatu kali ini. Jadi, saya mahu menjadi sebahagian daripada itu. 

"Saya berharap kehadiran saya akan berupaya mengubah wajah Perak untuk menjadi pencabar dalam Liga M," katanya.

 

Tindakan Sharom dan Hafiz memilih Perak memang sudah dijangka apabila masing-masing tidak melaporkan diri untuk latihan bersama pasukan Selangor bermula kelmarin.

Dengan kejayaan mendapatkan khidmat dua pemain Selangor itu bererti Perak berjaya membuat lima 'tangkapan besar' dalam usaha memperkuatkan pasukan. 

Tiga lagi ialah Nazrin Nawi dan Jasazrin Jamaluddin dari Johor Darul Ta'zim (JDT) serta Idris Ahmad dari FELDA United FC. 

Sementara itu, Hafiz Kamal pula berkata, beliau berpindah ke Perak bukan kerana berdepan masalah dengan Selangor, sebaliknya mahu berubah angin.

"Memang saya berhajat mewakili Perak untuk musim 2017. Saya gembira diterima menyarung jersi pasukan negeri asal saya. 

"Saya ingin segera menyesuaikan diri dengan rakan baharu agar dapat memberi persembahan terbaik," kata pemain kelahiran Pantai Remis itu.  

Berita Harian X