Rabu, 21 Disember 2016 | 4:05pm

Misi 'Mencari Abang Ram' diteruskan

ROSLIDA Ablah (tengah) memberi kata-kata semangat kepada Muhamad Aliff (kanan) dan Khafiz yang bertolak ke Iran, semalam, untuk misi mencari Ramli Abdul Majid yang masih belum ditemui di pergunungan Damavand , Iran. - Foto Abd. Rahim Rahmat

KUALA LUMPUR: Usaha mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Ramli Abd Majid, 40, yang hilang di Gunung Damavand, Iran, sebulan lalu kembali diteruskan dengan misi solo 'Mencari Abang Ram'.

Ketua Operasi SAR, Khafiz Bachok, berkata beliau akan terus menjejaki Ramli, 40, bersama rakan pendaki, Muhamad Aliff Abdullah, 29.

Khafiz, 38, pendaki dari Johor yang pernah menawan Gunung Damavand pada tahun 2011, berkata misi berkenaan diteruskan kerana masih berharap Ketua Jurutera Sistem PROTON itu ditemui dalam keadaan selamat.

Katanya, pencarian berkenaan adalah satu ikhtiar dan alternatif pendaki Malaysia sementara menunggu misi SAR oleh Red Cresent disambung semula.

"Pencarian sebelum ini tertangguh kerana faktor cuaca dipengaruhi perubahan musim luruh kepada musim sejuk. Minggu ini musim sejuk bermula secara rasmi di Iran.

"Pencarian kali ini bukan satu misi tekad untuk mendaki dan mencari semasa musim sejuk kerana lebih sukar dan bahaya berbanding SAR yang saya sertai bersama RedCresent Team Iran, sebelum ini. Keselamatan tetap menjadi keutamaan," katanya dalam satu kenyataan.

Khafiz berkata, menerusi misi berkenaan, mereka akan menyebarkan maklumat dan gambar Ramli kepada penduduk kawasan Damavand terutama di Timur dan Utara.

Selain itu, mereka akan cuba mendaki di laluan SouthEast Ridge dan turun di North Ridge, laluan yang dipercayai kemungkinan besar Ramli tersasar ke laluan ini.

"Misi ini sebagai wakil ahli keluarga Ramli untuk melihat keadaan sebenar dan membuat analisis perancangan SAR berikutnya, sama ada boleh dijalankan ketika musim sejuk atau terpaksa menunggu SAR ditangguhkan pada Mac hingga Jun (musim bunga atau panas) tahun depan," katanya.

Dalam kejadian pada 20 November lalu, Ramli bersama rakannya, Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, hilang ketika berada pada ketinggian 4,200 meter gunung berapi itu.

Bagaimanapun, Syed Redzuan ditemui maut di Yakhar Glacier, enam hari selepas dilaporkan hilang manakala Ramli masih gagal dikesan sehingga kini.

Berita Harian X