Rabu, 21 Disember 2016 | 7:29pm

Pembantu rumah Indonesia parah didera majikan


KEADAAN remaja wanita warga Indonesia yang mengalami kecederaan parah selepas dipercayai didera majikannya.

PETALING JAYA: Seorang remaja wanita warga Indonesia cedera parah selepas dipercayai didera majikannya sebelum dia ditemui terbaring di tepi longkang di Mutiara Damansara, di sini, tengah hari tadi.

Mangsa berusia 19 tahun itu ditemui seorang pengawal keselamatan di Jalan PJU 7/30, yang kemudian memaklumkan kepada seorang wanita yang juga penduduk di kawasan berhampiran.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata wanita terbabit kemudian membawa mangsa ke klinik berhampiran sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara.

"Siasatan awal polis mendapati wanita terbabit bekerja di satu unit kediaman di kawasan dia ditemui dan dipercayai didera oleh majikannya, namun setakat ini, siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Ekoran dari itu juga, polis kini sedang berusaha mengesan majikan dan rumah kediamannya sebelum tindakan susulan dilakukan," katanya ketika dihubungi BH, petang tadi.

Katanya, mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut berikutan kecederaannya yang agak serius.

Sementara itu, wanita yang membantu menyelamatkan mangsa dikenali sebagai Puan Tai, memberitahu beliau bergegas ke tempat mangsa selepas mengetahui perkara itu daripada pembantu rumahnya.

"Pembantu rumah saya tahu perkara itu daripada pengawal keselamatan yang menjumpai mangsa kerana mereka rakan baik, kedua-duanya warga Nepal.

"Saya terus pergi ke tempat mangsa ditemui dan amat terkejut apabila melihat keadaannya yang cedera teruk pada muka, telinga, leher dan belakang badannya luka dipenuhi darah," katanya kepada BH.

Beliau kemudian menghubungi seorang jirannya dan mereka berdua mengejarkan mangsa ke sebuah klinik berhampiran untuk rawatan sebelum membuat satu laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara.

1989 dibaca
Berita Harian X