Rabu, 21 Disember 2016 | 10:59pm
MAYAT anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dibawa ke bilik mayat. - Foto Amir Irsyad Omar

Isteri rancang beri kejutan hari lahir

USHA (dua dari kanan) isteri kepada anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar C Kayamboo yang maut dalam nahas pesawat di Pangkalan Udara TUDM Butterworth tiba di Hospital Seberang Jaya. - Foto Rosli Ahmad

BUTTERWORTH: Hasrat ahli keluarga juruterbang Tentera Diraja Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar C Kayamboo membuat kejutan pada hari lahirnya malam ini, tidak kesampaian apabila beliau maut dalam nahas petang tadi.

Bapa saudaranya, A Bijeikumaran, 58, berkata isteri Kayamboo merancang menyambut hari jadi ke-45 suaminya bersama tiga anaknya di rumah mereka di Georgetown.

"Isterinya memberitahu saya yang dia dan anak-anak tidak sabar menunggu Kayamboo pulang untuk menyambut hari lahirnya malam ini.

"Mereka memang jarang berjumpa kerana Kayamboo bertugas di Pangkalan TUDM di Kepala Batas, Kedah, manakala isteri dan anak-anaknya menetap di Sri Nibong, Georgetown," katanya.

Beliau ditemui di luar pekarangan Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini, sebentar tadi.

Dalam kejadian pada jam 5.18 petang itu, Kayamboo maut ketika pesawat Beechcraft Air King 200T yang dipandunya terbabas di Pangkalan TUDM Butterworth.

Berita Harian X