Khamis, 22 Disember 2016 | 11:39am
SEORANG anak kapal pesawat Beechcraft B200T yang dipercayai kritikal dipindahkan dari Hospital Seberang Jaya ke Hospital Pulau Pinang, malam tadi. - Foto BERNAMA

Pembantu juruterbang dirawat di ICU HPP

GEORGETOWN: Pembantu juruterbang, Kapten Wai Lik, antara kru dalam pesawat Beechcraft King Air 200T yang terhempas di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, semalam, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).

Sumber Kementerian Pertahanan memberitahu Wai Lik, 26, yang berasal dari Mentakab, Pahang, retak tulang di beberapa anggota badan termasuk di bahagian rusuk kanan.

"Sarjan Mohd Sofi Azizan, 29, dari Sik, Kedah, pula dirawat di wad biasa di HPP dan keadaan beliau dilaporkan stabil," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Seorang lagi mangsa, Leftenan Hamid Ahmad Hanafi, 26, dari Beranang, Selangor, dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur, malam tadi.

Dalam kejadian 5.18 petang semalam, juruterbang pesawat itu, Mejar C Kayamboo, 44, yang menyambut hari lahirnya semalam, maut di lokasi akibat kecederaan di kepala dan badan.

Berita Harian X