Khamis, 22 Disember 2016 | 12:43pm

Keluarga juruterbang TUDM harap siasatan terperinci dijalankan

BUTTERWORTH: Keluarga mangsa nahas pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas berhampiran Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth, di sini semalam, berharap siasatan terperinci dapat dilakukan segera.

M Chellam, 72, bapa kepada juruterbang yang terkorban dalam kejadian itu, mendiang Mejar C Kayamboo, 44, berkata mereka sekeluarga berharap keputusan siasatan dapat diketahui secepat mungkin dan dimaklumkan kepada anggota keluarga.

"Kami berharap siasatan itu dibuat secara teliti demi keadilan untuk mendiang anak sulung saya. Walaupun sedih dengan kejadian yang menimpa Kayamboo namun saya reda dengan kejadian itu.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada TUDM yang membantu menguruskan mayat mendiang Kayamboo," katanya.

Beliau berkata, isterinya M Indera Devi, 63, dan isteri Kayamboo, S Usha, 42, sehingga kini masih tidak dapat menerima kenyataan dan menganggapnya sebagai mimpi.

Namun, Chellam menasihatkan mereka agar menerimanya sebagai takdir.

Chellam yang juga pengusaha kedai makan, berkata ketika membuat pengecaman mayat Kayamboo, didapati hampir 80 peratus badan anaknya terbakar akibat insiden itu.

Dalam kejadian petang semalam, sebuah pesawat TUDM jenis Beechcraft B200T yang berlepas dari Pangkalan TUDM Subang, terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, di sini. - BERNAMA

SUASANA pilu menyelubungi kediaman mendiang Mejar C Kayamboo di rumah berkenaan di Taman Sri Nibong, hari ini.

Berita Harian X