Khamis, 11 Disember 2014 | 3:23pm

Previu Piala AFF: Harimau tagih magis Dollah benam Vietnam

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya tiada pilihan kecuali menang dengan membenam Vietnam di laman sendiri, malam ini.

Lebih perit, ia perlu diraih sekurang-kurangnya dengan angka 2-0, 3-1 atau pun lebih buat memastikan skuad kebangsaan negara dapat melangkah ke final Piala AFF Suzuki 2014.

Ia jelas satu tugas yang cukup berat, namun itulah halangan yang terpaksa dihadapi anak didik Dollah Salleh ketika bertemu Vietnam pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium My Dinh, Hanoi malam ini.


PENYERANG Malaysia, Indra Putra Mahayuddin (kanan) menjalani latihan di padang latihan Stadium My Dinh menjelang perlawanan separuh akhir kedua antara Vietnam dengan Malaysia. - Foto Osman Adnan

Andai menang 1-0, kelebihan tetap berpihak Vietnam yang menang 2-1 di Stadium Shah Alam empat hari lalu.

Malah, jika Harimau menang 2-1 bererti perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan.

Apa pun, perlu ingat, Malaysia bermain di laman lawan dengan kelebihan pasti memihak tuan rumah dan My Dinh tidak pernah 'mesra' dengan kunjungan Harimau Malaya.

Selain itu, berdasarkan rekod pertembungan menentang juara 2008 itu, ia jelas tidak begitu memihak Malaysia.


KETUA jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh (tengah) memantau sesi latihan pemainnya di padang latihan Stadium Nasional My Dinh menjelang perlawanan Separuh Akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 menentang Vietnam. Foto Osman Adnan

Daripada lapan perlawanan dalam kempen serantau AFF, Vietnam memiliki empat kemenangan dan dua seri manakala Malaysia dua, dibantu dengan gemilang yang dicipta pada 2010 ketika menjulang kejuaraan buat pertama kali.

Ia tidak ditambah ketika Malaysia tumbang 1-3 pada siri persahabatan antarabangsa, bulan lalu.

Begitupun, tiada apa yang mustahil, seperti yang ditampilkan Malaysia ketika aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Singapura.

Kemenangan yang dituntut dan anak didik Dollah menyahut cabaran dengan mengatasi pasukan tetangga itu, 3-1.


KETUA jurulatih pasukan Vietnam, Toshiya Miura. Foto Goh Thean Howe

Apa pun ketika di Shah Alam, Malaysia jelas terlalu banyak melakukan kesilapan malah dilihat gagal menandingi corak pantas yang ditampilkan Vietnam yang seakan-akan diserap semangat Samurai Biru, Jepun.

Jurulatihnya, Toshiya Miura yang berasal daripada negara Matahari Terbit itu amat menitik beratkan disiplin sehingga anak buahnya seperti memiliki stamina tidak terhad.

Malah, rata-rata pemain Vietnam dilihat memiliki kepantasan luar biasa terutama gandingan penyerang, Le Cong Vinh dan Nguyen Van Quyet.


PENYOKONG Vietnam bersorak dengan mempamerkan tiket perlawanan ketika menyaksikan sesi latihan skuad bola sepak Harimau Malaya di padang latihan Stadium Nasional My Dinh menjelang perlawanan Separuh Akhir kedua Piala AFF Suzuki . - Foto Osman Adnan

Bagi Dollah, apa yang ditampilkan anak buahnya di laman sendiri, minggu lalu cukup mengecewakan, jauh daripada aksi ditunjukkan ketika di negara jiran, Singapura.

Malah baginya, ketiadaan dua tonggak veteran, Amri Yahyah dan Shukor Adan juga tidak boleh dipersalahkan kerana pemain yang diberikan tanggungjawab perlu memikulnya sendiri.

"Saya masih tidak tahu apa yang menyebabkan mereka tidak seperti biasa," katanya yang dipetik dalam akhbar BH sebelum ini.

Begitu pun, malam ini Dollah memiliki pasukan terkuat di Hanoi. Bagaimana dia mahu mencorakkan bekalan yang ada atau mengambil risiko, terletak di tangannya kerana inilah 'set' pemain Malaysia yang kita miliki ketika ini.

Ringkasnya, malam ini ia lebih kepada magis pengendali skuad negara itu buat mengilhamkan satu kejutan.

Malah kebijaksanaan taktikal Dollah yang pernah mencipta beberapa kejayaan sebagai pemain dan jurulatih mungkin mampu membawa kejayaan.

Apa yang pasti, tiada yang mustahil dalam bola sepak dan Harimau Malaya mampu mengaum seperti 2010 dan membenam Vietnam untuk mara ke pentas final - sasaran awal yang diletakkan Dollah.

Bagi peminat tegar bola sepak serantau, mereka pastinya lebih gemar Malaysia bertemu Thailand di pentas final kerana kedua-duanya dilatih anak tempatan yang pernah menjulang nama negara masing-masing satu ketika dulu.

Berita Harian X