Jumaat, 23 Disember 2016 | 11:18am

Courtois dalam radar Real


PENJAGA gol Chelsea, Thibaut Courtois ketika beraksi pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Crystal Palace di Selhurst Park, London, 17 Disember lalu. - Foto AFP

MADRID: Real Madrid menyenaraikan penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois dalam senarai sasaran perpindahan kelab itu, menurut laporan di Sepanyol.

AS melaporkan Zinedine Zidane sudah mengenal pasti penjaga gol utama Chelsea sebagai calon teratas dan menambah bahawa Courtois mungkin berminat kembali kepada Sepanyol, walaupun sebelum ini bermain dengan musuh mereka, Atletico Madrid.

Muka depan akhbar itu melaporkan 'Objektif Courtois' dan mengatakan bahawa 'Madrid menyenaraikannya dalam projek mereka untuk perpindahan musim panas.'

Courtois mempamerkan persembahan luar biasa bersama Chelsea musim ini dan tahap prestasinya selari dengan kemenangan berterusan di bawah kendalian Antonio Conte.

Chelsea sudah memenangi 11 perlawanan terakhir dan hanya melepaskan dua gol yang membolehkan mereka mendahului tangga teratas Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan enam mata.

Secara keseluruhan, Courtois yang juga pemain antarabangsa Belgium berusia 24 tahun sudah membuat 72 penampilan bersama Chelsea, selepas tempoh pinjaman selama tiga tahun di Sepanyol bersama Atletico.

16 dibaca
Berita Harian X