Sabtu, 24 Disember 2016 | 3:18pm

Alumni Maahad Muhammadi lancar dua tabung

KOTA BHARU: Persatuan bekas pelajar Maahad Muhamadi, di sini, melancarkan dua tabung bagi pembangunan dan kebajikan pelajar sekolah berkenaan.

Pelancaran Tabung Pembangunan Abdul Rahman Al Makki dan Tabung Kebajikan Maahad Muhammadi itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau, Datuk Nassuruddin Daud pada majlis makan malam persatuan itu di sini, malam tadi.


YANG Dipertua alumni Maahad Muhammadi, Dr Nazmi Ghazali Azmi. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Yang Dipertua Alumni Maahad Muhammadi, Dr Nazmi Ghazali Azmi, berkata sebelum ini dua tabung itu digabungkan dan pihaknya mengambil keputusan diasingkan bagi kemudahan pembiayaan khusus.

"Sebagai projek perintis di bawah tabung pembangunan (Abdul Rahman Al Makki), sebuah mini kompleks sukan sedang dibangunkan bertempat di Maahad Muhammadi Lelaki Kota Bharu.

"Ia adalah gelanggang beberapa permainan antaranya skuasy, ping pong serta futsal dan anggaran awal keseluruhan kos melebihi RM300,000," katanya.

Nazmi berkata, bagi Tabung Kebajikan Maahad Muhammadi pula, ia adalah bagi membantu pelajar membiayai kos pengajian termasuk menyelesaikan tunggakan yuran persekolahan.

"Menerusi pembiayaan Alumni Maahad Muhamadi juga sebidang tanah dibeli dengan kos RM810,000 untuk pembesaran kawasan sekolah dan pembinaan masjid di Maahad Muhammadi Perempuan," katanya.

Mengenai majlis makan malam itu, Nazmi berkata, ia diadakan dua tahun sekali bagi menghimpun bekas pelajar seterusnya mengumpul dana bagi pembangunan sekolah.

Pada majlis itu juga, dua anugerah diperkenalkan iaitu Tokoh Alumni Maahad Muhammadi yang diterima Mariam Omar dan Anugerah Khas Kecemerlangan yang diberikan kepada Wan Ainuddin Hilmi Abdullah.

Caption: Yang Dipertua Alumni Maahad Muhammadi, Dr Nazmi Ghazali Azmi.

Berita Harian X