Sabtu, 24 Disember 2016 | 6:06pm

36 pasangan dinikahkan beramai-ramai

SERAMAI 36 pasangan pengantin nikahkan beramai ramai dalam satu majlis yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa (tengah) menerusi Program Walimatul Urus Qubra 2016 di Masjid Ayesha, Ketereh, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Seramai 36 pasangan berusia 20 hingga 35 tahun dinikahkan beramai-ramai pada Program Walimatus Urus Qubro 2016 di Masjid Ayesha, Kok Lanas, di sini, hari ini.

Program anjuran Pusat Khidmat Amal dan Aktiviti Masyarakat Ketereh (KHADAM) yang dikelolakan Pergerakan Puteri UMNO Kelantan dan Ketereh itu bagi membantu pasangan berkenaan menjimatkan kos dengan bayaran hanya RM2,500 berbanding kos biasa perkahwinan yang boleh mencecah sehingga RM15,000.

Kesemua pasangan dinikahkan bermula jam 10.30 pagi oleh enam Imam dalam Parlimen Ketereh yang diketuai Imam Masjid Al-Muhaimin Kok Lanas, Mohd Zain.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, berkata program itu turut mendapat tajaan 10 pengusaha kerja kahwin dalam Parlimen Ketereh.

"Kita berharap program ini dapat dijadikan acara tahunan berikutan sambutan menggalakkan dan bercadang diadakan pada bulan Syawal atau Raya Haji tahun depan," katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad; Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azam Ismail dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kelantan, Marzuani Ardilla Arifin.

Annuar berkata, kesemua 36 pasangan itu akan diraikan pada majlis persandingan beramai-ramai di Dewan Tun Abdul Gaffar Baba, Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Melor, esok.

"Sempena majlis itu pelbagai aktiviti keusahawanan dan gerai jualan bertemakan perkahwinan akan turut diadakan," katanya.

Berita Harian X