Sabtu, 24 Disember 2016 | 6:09pm

Berehat panjang, Keith Foo main bola tampar

PELAKON, Keith Foo. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PELAKON, Keith Foo. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Penat bekerja dengan jadual penggambaran padat, pelakon Keith Foo mengambil keputusan berehat panjang bagi membolehkan dia meluangkan masa bersama isteri, Kim Raymond.

"Sejak kembali ke Malaysia untuk berlakon, jarang sekali saya bercuti panjang. Jika melancong ke luar negara sekalipun disebabkan tuntutan kerja atau menjalani penggambaran.

"Badan memang terlalu penat untuk terus bekerja. Sebab itu saya mengambil keputusan berehat daripada terbabit dengan mana-mana projek pada akhir tahun ini. Penggambaran terakhir adalah beberapa bulan lalu.

"Saya banyak menghabiskan masa terluang bersama isteri. Selain itu, saya sering pulang ke kampung di Gemas, Negeri Sembilan," katanya kepada BH Online.

Keith berkata, dia juga sempat melakukan aktiviti riadah yang sudah lama ditinggalkan kerana kesibukan kerja.

"Ketika zaman persekolahan, saya aktif dalam sukan bola tampar. Jadi kesempatan ini saya ambil untuk bergabung dengan rakan sekolah dulu untuk bermain bola tampar.

"Kami juga terbabit dalam beberapa kejohanan di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan. Saya juga banyak menghabiskan masa di gimnasium untuk kembali membina otot dan menjaga kesihatan tubuh," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X