Ahad, 25 Disember 2016 | 12:46am

Nahas bas: Keluarga terkejut Mohd Hisham antara yang maut

MARANG: "Saya tidak menyangka majlis kesyukuran dan cukur jambul anak ketiga yang dirancang esok (Ahad) bertukar menjadi majlis tahlil abang".

Demikian kata Noor Suriati Wahab, 29, adik kepada Mohd Hisham Wahab, 34, yang maut dalam nahas bas ekspres di Kilometer 137.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Kampung Jayor, Muar, Johor, awal pagi, Sabtu.

Noor Suriati berkata, dia sekeluarga mengetahui kejadian yang mengorbankan 14 penumpang itu pagi tadi menerusi televisyen dan laman sosial.

Bagaimanapun katanya, mereka tidak menyangka seorang daripada mangsa nahas itu ialah abangnya sendiri yang juga anak lelaki tunggal daripada lima beradik.

Dia yang tinggal di Kampung Rawai, Bukit Payong, di sini, berkata keluarganya mengetahui berita sedih itu kira-kira jam 7.15 malam menerusi panggilan telefon daripada anggota polis Johor yang meminta pihak keluarga datang menuntut arwah.

"Kami sekeluarga terkejut apabila pihak polis meminta datang ke bilik mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk menuntut jenazah arwah abang.

"Bapa, Wahab Jusoh, 59, bersama bapa saudara, Baharuddin Musa, 50, sudah bertolak ke HPSF dengan menaiki van jenazah Kampung Rawai kira-kira jam 9.15 malam tadi," katanya.

Noor Suriati berkata, jenazah akan dibawa pulang ke Terengganu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Rawai, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi tadi, 14 termasuk pemandu bas ekspres maut, manakala 16 lagi cedera selepas bas dinaiki terbabas dan terhumban ke gaung sedalam 10 meter di Kilometer 137.2 lebuh raya PLUS arah utara berhampiran Kampung Jayor, Muar.

Bas Ekspres Alisan itu dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

Berita Harian X