Ahad, 25 Disember 2016 | 3:20pm

36 pasangan pengantin diarak naik kereta mewah

KOTA BHARU: Seramai 36 pengantin Walimatul Urus Qubro 2016 hari ini diarak dengan menaiki 18 kereta mewah, termasuk Royce Rolls pada majlis persandingan mereka.

Pasangan berkenaan yang dinikahkan semalam dirai oleh 10,000 tetamu sempena majlis persandingan beramai-ramai anjuran Pusat Khidmat Amal dan Aktiviti Parlimen Ketereh (KHADAM), Pergerakan Puteri UMNO Kelantan dan Ketereh di bawah Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Semua pasangan pengantin menaiki kereta mewah seperti Hummer, Royce Rolls dan Range Rover yang diarak kira-kira 15 kilometer dari Dataran Kok Lanas ke YKK Peringat.

Seorang pengantin, Ezatul Fariha Azizi, 25, menyifatkan dia tidak pernah bermimpi untuk berkahwin dengan diarak menaiki kereta mewah bernilai jutaan ringgit.

Ezatul Fariha dan suaminya, Mohd Luqman Mokhtar, 25, menganggap ia adalah hadiah bernilai buat mereka.

"Saya berasa bangga dan teruja apabila dapat menaiki kereta mewah Royce Rolls selain pelamin mewah oleh Eina Bridal House dan acara meriah dengan persembahan tarian oleh penari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

"Saya harap Tan Sri (Annuar) dapat teruskan lagi program sebegini sebab memang sangat bermakna buat kami yang mahu mendirikan rumah tangga selain rasa sangat diraikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis persandingan di Dewan Tun Ghaffar Baba, Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) Peringat, di sini, hari ini.

Seorang lagi pengantin, Mohd Azfar Mohd Ramli, 27, dan pasangannya Nor Azila Mahasan, 27, ternyata terkejut apabila majlis persandingan itu turut menjemput penyanyi kegemarannya, Jay Jay untuk membuat persembahan.

"Saya memang rasa terkejut sebab meminati beliau sejak kecil dan terhibur dengan semua program meriah yang diadakan hari ini," katanya yang berasal dari Johor.

Sementara itu, Annuar Musa, dalam ucapannya, berkata beliau berhasrat menjadikan program itu sebagai acara tahunan bagi membantu meringankan beban terutamanya belia untuk berkahwin.

Berita Harian X