Ahad, 25 Disember 2016 | 9:09pm

2 remaja dikhuatiri lemas di Pantai Tok Bali

DUA remaja terselamat selepas dua rakan mereka dikhuatiri lemas di Pantai Tok Bali, petang tadi. - Foto ihsan pembaca

PASIR PUTEH: Dua remaja selamat, manakala dua lagi rakannya dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Tok Bali, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa yang lemas dikenali sebagai Azim, 14, dan Amir Azfa, 13. Remaja yang berjaya diselamatkan orang awam adalah Mohd Firdaus Mustafa, 16, dan Amir Sahir Zakima, 13.

Ketika kejadian, empat sahabat berkenaan dikatakan mandi di pantai berkenaan sebelum semua mereka lemas, namun dua daripada mereka berjaya diselamatkan dan dua lagi dikhuatiri lemas.

Ketua Pegawai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustophar, berkata hingga ini operasi mencari giat dilakukan.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat kecemasan daripada orang ramai berhubung kejadian itu jam 4.30 petang.

DUA remaja dikhuatiri lemas di Pantai Tok Bali. - Foto ihsan pembaca

Katanya, seramai 18 anggota pasukan penyelamat terbabit dalam operasi mencari termasuk mendapat bantuan tambahan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan juga polis.

Berita Harian X